Program Pemerkasaan Wanita Sabah 2025 Ke Arah Masa Depan Lebih Gemilang – Noraini Idris
KOTA KINABALU, 27 Jun – Program Pemerkasaan Wanita Sabah 2025 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre baru-baru ini menyaksikan kehadiran ratusan peserta wanita dari seluruh negeri dalam satu inisiatif penting yang bertujuan untuk memperkukuh peranan wanita dalam bidang keusahawanan dan pembangunan komuniti.
Pengerusi Kelab Usahawanita Sabah merangkap Ketua Wanita UMNO Sabah Datuk Noraini binti Idris, merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, khususnya MARA dan semua rakan strategik yang menjayakan program berimpak ini.
“Sebagai usahawan wanita di Sabah, kami berdepan cabaran tersendiri termasuk kekangan akses kepada modal, pasaran yang terhad serta kesukaran mendapatkan teknologi dan infrastruktur digital, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” kata beliau.
Menurut beliau, para usahawan wanita di Sabah berdepan dengan pelbagai cabaran yang sering membataskan potensi sebenar mereka dan antara cabaran utama yang dihadapi termasuklah kekangan akses kepada modal, khususnya bagi mereka yang berada di kawasan luar bandar, di mana kemudahan pinjaman khas untuk wanita masih lagi terhad.
Beliau menegaskan bahawa program seperti ini bukan sahaja menyediakan ilmu dan kemahiran, malah membuka ruang kepada jaringan serta sokongan strategik daripada agensi kerajaan dan sektor swasta.
Antara cadangan yang dikemukakan oleh Noraini bagi memperkasa usahawan wanita Sabah termasuklah program latihan kemahiran dan keusahawanan khusus wanita, mentorship dan jaringan usahawan wanita, program peningkatan akses pasaran dan sokongan pembangunan usahawan wanita inklusif.
Beliau turut memuji sumbangan para penceramah dan usahawan wanita berjaya yang berkongsi kisah serta strategi dalam membina perniagaan mampan.
“Pendedahan kepada latihan digital dan ekosistem keusahawanan memberi keyakinan baru kepada kami untuk menembusi pasaran lebih luas dan memperkukuh daya saing dalam dunia perniagaan moden,” tambah beliau.
Noraini juga menyeru peserta program untuk terus berani mencuba dan menyokong antara satu sama lain demi mencipta masa depan lebih gemilang untuk wanita Sabah dan negara secara keseluruhan.
Ujarnya, program ini turut mencipta peluang penting untuk memperkukuhkan jaringan komuniti wanita yang dinamik, saling memperkasa dan berpotensi menjadi agen perubahan dalam pembangunan ekonomi negara. – UMNO Online