Konsisten, Semangat Ahli Akar Umbi Nadi Kejayaan Parti – Pemuda UMNO Pahang

RAUB, 27 Jun – Perjuangan UMNO tidak pernah bergantung kepada individu semata-mata malah kepimpinan yang silih berganti tidak sedikit pun melunturkan semangat serta komitmen perjuangan ahli pelbagai peringkat termasuklah di peringkat cawangan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Kamil Ibrahim berkata meskipun parti berdepan dengan ujian selain ketika nama-nama besar mengambil langkah meninggalkan perjuangan UMNO, ahli yang lain khususnya di cawangan tetap setia meneruskan khidmat masing-masing.

“Ketika kita berada dalam suasana Persidangan UMNO di semua bahagian, saya rasa terharu dapat melihat UMNO masih berdiri teguh hari ini kerana adanya ahli dan akar umbi kekal setia kepada parti.

“Setia mereka bukan pada jawatan, bukan pada manusia tetapi pada perjuangan, pada prinsip dan juga pada maruah bangsa. Pemimpin datang dan pergi. Nama-nama besar naik dan turun.

“Tetapi yang tetap teguh, yang tetap setia, yang tidak pernah meninggalkan parti walau diuji badai adalah akar umbi yang sentiasa memberi komitmen sanggup berkorban wang ringgit dan keringat mereka,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Raub, hari ini Cawangan-cawangan UMNO masih berdiri kerana ada ahli yang kental semangatnya malah terdapat pejuang di bawah yang tidak pernah berpaling walaupun parti pernah terhumban ke titik paling gelap dalam sejarah UMNO.

“Kita kena ingat UMNO hidup kerana akar umbi hidup. UMNO kuat kerana akar umbi kuat. Kalau akar umbi goyah, parti juga akan tumbang. Tetapi selama mana akar umbi terus teguh, selama itulah UMNO tidak akan pernah mati. Inilah hakikat yang semua pihak mesti sedar dan insafi tanpa akar umbi, pemimpin di atas tiada makna.

“Kita mesti menanam keyakinan bahawa cawangan dan ahli bukan sekadar jentera, tetapi nadi perjuangan yang mengalirkan darah ke seluruh tubuh parti. Jangan sesekali membiarkan cawangan jadi lesu kerana politik peribadi dan perebutan kuasa di waktu pemilihan. Cawangan mesti diangkat sebagai tapak membina kekuatan dan medan menyemai kesetiaan,” tambahnya.

Beliau seterusnya mengingatkan ahli pelbagai peringkat khususnya di akar umbi agar terus istiqamah dalam usaha memastikan UMNO terus melakar kejayaan pada masa akan datang.

“Kepada semua ahli akar umbi yang selama ini setia, jangan pernah gentar, jangan pernah goyah. Perjuangan kita lebih besar daripada mana-mana individu. Kita berjuang bukan untuk kepentingan sesiapa tetapi untuk agama, bangsa dan tanah air. Kesetiaan anda adalah nyawa kepada UMNO.

“Pemimpin mungkin silih berganti, tetapi akar umbi adalah tulang belakang yang tidak akan pernah pupus. Akar umbi adalah warisan perjuangan yang akan terus hidup dari satu generasi ke generasi. Hari ini kita mungkin tidak di puncak tetapi dengan semangat akar umbi yang kekal utuh, percayalah kita akan bangkit semula, lebih kuat, lebih dihormati dan lebih diyakini rakyat.

“Perkukuh cawangan, perkasakan akar umbi dan teruslah menjadi penyambung warisan kepada UMNO. Kerana selagi akar umbi setia, UMNO akan terus hidup. Selagi akar umbi berjuang, UMNO akan terus memimpin,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79