Azalina Ucap Salam Maal Hijrah 1447H, Seru Rakyat Terus Lakukan Pembaharuan

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, mengucapkan Salam Maal Hijrah 1447H kepada seluruh rakyat Malaysia sambil mengajak masyarakat menghayati semangat hijrah sebagai satu proses pembaharuan diri dan negara.

Menurut Azalina, tanggal 1 Muharram merupakan detik penting dalam sejarah Islam apabila Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah, satu peristiwa besar yang bukan sekadar perpindahan fizikal tetapi juga simbol kepada reformasi menyeluruh dalam membentuk masyarakat Islam yang inklusif dan penuh nilai murni.

“Hijrah mengajar kita tentang komitmen dan kesediaan untuk melakukan perubahan besar yang positif dalam kehidupan. Ia menuntut keberanian meninggalkan kebiasaan lama yang tidak bermanfaat demi mencapai pembaharuan yang lebih baik,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Beliau turut menyatakan harapan agar sambutan Maal Hijrah tahun ini dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia, khususnya dalam meneruskan usaha pembinaan negara yang lebih sejahtera dan progresif sejajar dengan tema sambutan tahun ini iaitu “Membangun Ummah MADANI”.

Azalina turut menyeru rakyat agar terus maju ke hadapan dengan semangat serta tekad untuk melakukan reformasi demi kesejahteraan bersama. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79