Yayasan Perak Komited Bina Masa Hadapan Anak Negeri Lebih Gemilang – Saarani

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Perak komited membina masa hadapan generasi akan datang dengan lebih gemilang.

Dalam satu hantaran di laman Facebook, Saarani telah mempengerusikan Mesyuarat Anggota Yayasan Perak (MAYA) Bil 2/2025 di Pejabat Menteri Besar, Ipoh, Rabu petang.

“Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada pelaporan kemajuan program sedia ada serta perancangan inisiatif baharu Yayasan Perak yang berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Komitmen kita jelas, bagi memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan sebaiknya untuk membina masa depan anak-anak Perak yang lebih gemilang,” ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu lagi.

Terdahulu kongsinya di platform yang sama, pada sebelah pagi Saarani telah menyerahkan watikah pelantikan kepada Yang Dipertua Majlis (YDP) Majlis Daerah Tapah yang baharu Azmi Abdul Aziz.

Menurut Saarani, Azmi sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah di Agensi Antidadah Kebangsaan, Putrajaya.

“Beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya. Azmi bukanlah asing dari Negeri Perak.

“Memulakan kariernya dalam perkhidmatan awam dengan berkhidmat untuk Negeri Perak sejak tahun 2008 hingga 2018 sebagai Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Slim River/Tanjung Malim dan Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang sebelum ke Putrajaya untuk mengetuai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

“Dengan pengalamannya yang luas dalam sektor perkhidmatan awam, saya yakin beliau mampu membawa Tapah ke satu tahap yang lebih progresif, mampan dan sejahtera untuk segenap lapisan masyarakat,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu.

Saarani juga berharap agar Azmi terus cemerlang dalam memimpin organisasi Majlis Daerah Tapah dengan penuh dedikasi dan integriti. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79