Penubuhan Kelab Baharu Bawah KFA Hanya Untuk Cuci Tangan Dari Kegagalan Sendiri
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Tindakan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menubuhkan kelab bola sepak baharu dilihat hanya usaha pihak tertentu ‘cuci tangan’ daripada kegagalan sendiri mengendalikan Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman (KDA FC).
Pengarah Komunikasi UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menzahirkan rasa kecewa dan beliau beranggapan bahawa pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar telah berjuang sebaiknya untuk menjaga persatuan tersebut.
“Saya dan majoriti rakyat sebagai penyokong setia bola sepak Kedah dan anak negeri yang cintakan maruah hijau kuning ingin menyatakan rasa kecewa, marah serta terluka terhadap apa sedang berlaku kepada KDA FC.
“Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar telah berjuang. Bukan sekadar menaja, beliau memikul tanggungjawab, menanggung beban dan berusaha menjaga nama baik kelab ini. Namun beliau dikhianati. Ditikam dari belakang. Ditanggung seorang diri.
“Sementara itu, pemimpin yang punya kuasa dan jawatan lari. Senyap. Diam. Dan lebih buruk lagi, tubuh kelab baharu untuk sapu bersih kegagalan lalu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar menegaskan bahawa apa yang telah berlaku merupakan satu penghinaan terhadap sejarah dan legasi tokoh-tokoh besar pemain bola sepak.
“KDA FC bukan milik penaja atau persatuan. Ia milik rakyat. Ia adalah maruah negeri. Apa yang sedang berlaku hari ini adalah satu penghinaan terhadap sejarah dan legasi tokoh-tokoh besar seperti Datuk Ahmad Basri Akil, Ahmad Sobri serta semua yang telah berkorban mengangkat nama Kedah. Tidak malukah kita pada mereka?
“Maka dengan ini, kami menyatakan pendirian bahawa kami akan tetap berdiri teguh bersama KDA FC dan menyokong penuh Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar serta usaha beliau memulihkan kelab. Seterusnya, kami menolak penubuhan kelab baharu di bawah KFA yang hanya mahu ‘cuci tangan’ dari kegagalan sendiri.
“Maka, kami ingin menyeru seluruh rakyat Negeri Kedah untuk bangkit, bersuara dan jangan biarkan Sang Kancil dikuburkan oleh permainan politik. Sang Kenari tak mati. Tapi yang hilang ialah rasa malu dalam kalangan mereka yang patut bertanggungjawab,” katanya lagi.
Pada Selasa media melaporkan, Mohd Daud Bakar meluahkan kekecewaannya selepas ditinggalkan keseorangan dalam mencari jalan keluar daripada masalah kewangan yang dihadapi kelab itu.
Ia susulan tindakan beberapa individu yang menjadi pemilik bersama kelab itu menarik diri selain tindakan KFA membentuk pasukan baharu, Kedah FA untuk bersaing bersama KDA FC dalam Liga Semi Pro A1. – UMNO Online