OCBC Komited Hubungkan Johor Dengan Pelabur Dan Pemain Industri Global
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan pertemuan bersama salah satu institusi kewangan terkemuka Asia, OCBC Group bagi meneroka ruang kerjasama strategik dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi Johor.
Beliau memaklumkan pertemuan tersebut memfokuskan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang kini giat dilaksanakan sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri.
“OCBC menyatakan komitmen teguh mereka untuk menyokong pelaburan, pembiayaan dan pengembangan perniagaan dalam JS-SEZ.
“Sebagai kumpulan perkhidmatan kewangan kedua terbesar di Asia Tenggara, OCBC memiliki kekuatan kewangan yang kukuh dengan jumlah aset melebihi USD468 bilion serta rekod prestasi cemerlang di pelbagai pasaran utama dunia.
“Dengan rangkaian operasi yang luas merangkumi Asia Tenggara, Greater China dan pasaran antarabangsa, OCBC bersedia menjadi jambatan penting yang menghubungkan Johor dengan pelabur dan pemain industri global,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Onn Hafiz dalam pada itu turut dimaklumkan bahawa OCBC kini mempunyai hampir 400 pekerja di Johor dan merancang untuk menggandakan jumlah tersebut dengan mewujudkan lebih 400 peluang pekerjaan baharu.
Menurut beliau khususnya untuk graduan tempatan dengan gaji permulaan antara RM3,200 hingga RM3,600 menandakan komitmen OCBC untuk menawarkan pekerjaan bernilai tinggi yang selari dengan aspirasi penubuhan Johor Talent Development Council (JTDC).
“Inisiatif ini akan memastikan pembangunan JS-SEZ turut disokong oleh bakat tempatan yang kompeten dan bersedia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.
“Dalam perbincangan ini juga, OCBC berkongsi pandangan tentang potensi Johor sebagai hab pelaburan dan perdagangan yang menghubungkan ASEAN dan China. Dengan kekuatan rangkaian mereka di kedua-dua rantau, OCBC bersedia menyokong pertumbuhan sektor-sektor utama seperti logistik, pembuatan, infrastruktur, fintech dan ekonomi digital.
“Kepakaran OCBC dalam pembiayaan rentas sempadan, pengurusan kekayaan dan transformasi digital menjadikan mereka rakan strategik yang amat bernilai dalam usaha membawa masuk pelaburan berkualiti tinggi ke Johor,” ujar beliau. – UMNO Online