DNAA Najib: Hormati Keputusan Mahkamah – Rahman

KUALA LUMPUR, 26 Jun – UMNO Bahagian Lipis menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada minggu lalu yang memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd melibatkan RM27 juta.

Ketuanya merangkap Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang, pihaknya percaya keputusan ini menunjukkan bahawa sistem kehakiman negara terus berfungsi secara bebas tanpa sebarang campur tangan politik.

“Proses undang-undang berjalan mengikut aturan dan budi bicara badan kehakiman yang bebas sebagaimana yang sepatutnya berlaku dalam sebuah negara demokrasi.

“Kami turut mengambil maklum bahawa kes ini telah berlarutan lebih enam tahun, dan prinsip bahawa “justice delayed is justice denied” wajar dihayati oleh semua pihak. Proses keadilan perlu dilaksanakan dengan cepat dan telus agar tidak menjejaskan hak mana-mana individu, termasuk Dato’ Sri Najib, untuk mendapatkan keadilan sewajarnya.

“UMNO Bahagian Lipis juga ingin menegaskan bahawa keputusan DNAA ini bukan bermaksud kes ini telah berakhir sepenuhnya. Sebaliknya, ia memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengurus dan meneliti kes ini dengan lebih teratur sekiranya perlu, selaras dengan lunas perundangan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Pada masa yang sama pihaknya turut menyambut baik komitmen Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus menghormati kebebasan institusi kehakiman dan tidak campur tangan dalam urusan mahkamah.

“Perkara ini wajar dipuji kerana ia membuktikan kerajaan komited kepada prinsip pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang.

“Akhir sekali, kami menyeru semua pihak agar menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan mengelak daripada membuat sebarang spekulasi atau tohmahan yang boleh mengeruhkan suasana.

“Apa jua pandangan peribadi, kita semua harus meletakkan kepercayaan kepada mahkamah dan sistem keadilan negara,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79