Pemerkasaan Usahawan Wanita Bukti Agenda Serius Kerajaan – Rosnah Shirlin
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Program Pemerkasaan Usahawan Wanita Perdana yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) semalam menjadi satu platform penting dalam memperkukuh peranan wanita sebagai ejen perubahan, peneraju ekonomi dan pemacu kemajuan negara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memaklumkan bahawa program ini memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan wanita bukan sahaja diberi peranan penting dalam pembangunan negara, malah turut diperkasa dari sudut keusahawanan, ekonomi dan kepimpinan.
“Program ini menjadi platform yang sangat signifikan dalam usaha memperkasa wanita, terutamanya usahawan wanita Bumiputera, dengan menyediakan ruang untuk membina jaringan strategik, menimba ilmu keusahawanan serta mengenal pasti peluang pembangunan perniagaan.
“Ia turut memperlihatkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan wanita bukan sahaja diberi peranan penting, tetapi juga diperkasa sebagai ejen perubahan, peneraju ekonomi dan pemacu kemajuan negara,” katanya menerusi hantaran di Laman Facebooknya selepas bersama-sama dalam program terbabit.
Katanya, inisiatif seperti ini membuktikan bahawa pemerkasaan wanita satu agenda serius dan berterusan kepada kerajaan.
“Semoga lebih banyak inisiatif seperti ini dilaksanakan di masa akan datang bagi memastikan usahawan wanita seluruh Malaysia terus maju, berdikari dan berdaya saing di peringkat nasional mahupun antarabangsa.”
Program anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) ini disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang dalam ucapannya menegaskan betapa pentingnya usaha luar biasa dalam melaksanakan tanggungjawab walaupun dalam keadaan biasa.
Antara pemimpin yang turut hadir Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad. – UMNO Online