KPT Kerjasama Rapat Dengan JANS, Cari Penyelesaian Isu Bekalan Air UMS
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta Kerajaan Negeri Sabah bagi mencari penyelesaian membabitkan isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ini kerana isu bekalan air sebagai penting lantaran membabitkan kebajikan pelajar UMS dalam menjalani kehidupan dan pembelajaran mereka di kampus.
“Saya maklum akan kesukaran yang dihadapi dan saya ingin tegaskan bahawa pihak kementerian sedang bekerjasama rapat dengan pihak JANS serta Kerajaan Negeri Sabah bagi mencari penyelesaian.
“Isu ini telah saya angkat sendiri kepada pihak berkaitan agar kebajikan mahasiswa diutamakan,” katanya.
Zambry berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya pada Program In Person With DocZam yang diadakan di UMS, semalam.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila dihadiri 1,000 mahasiswa dan pemimpin pelajar daripada UMS, UiTM, MSU, IPG dan Politeknik.
Membawa tema Bina Jiwa, Bina Bangsa, beliau menekankan bahawa bangsa yang hebat lahir daripada insan yang kukuh jati dirinya.
Menurutnya, mahasiswa bukan sekadar pelajar tetapi bakal pemimpin masa depan yang harus bersedia memikul amanah negara.
“Saya memulakan sesi dengan berkongsi perjalanan hidup peribadi bagaimana saya bermula sebagai anak seorang nelayan, melalui pelbagai cabaran hidup sebagai pelajar yang serba kekurangan, dan bagaimana pendidikan telah membuka jalan sehingga ke posisi yang saya diamanahkan hari ini.
“Saya mahu mahasiswa menyedari bahawa setiap kejayaan itu dibina di atas kesungguhan, kecekalan dan prinsip hidup yang utuh. Insya-Allah tiada yang mustahil.
“Bangsa yang hebat lahir daripada insan yang kukuh jiwa dan nilai peribadinya. Mahasiswa perlu sedar bahawa mereka bukan hanya pelajar, tetapi juga bakal pemimpin masa depan bangsa dan negara,” ujar beliau.
Sementara itu beliau turut menyatakan komitmen kerajaan membabitkan perancangan dan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035.
Menurut Zambry ia dirancang memenuhi segenap aspek kurikulum, kokurikulum, termasuklah sahsiah dan peribadi selari dengan perkembangan dunia akademik dan juga teknologi. – UMNO Online