Khazanah Sejarah Melaka Terus Dimartabat, Ab Rauf Perkukuh Kerjasama Ilmiah Dengan Universiti Leiden

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyatakan rasa teruja terhadap pelbagai penemuan ilmiah dan manuskrip bernilai tinggi sepanjang lawatan rasmi delegasi Kerajaan Negeri Melaka ke Perpustakaan Universiti Leiden, Belanda salah sebuah perpustakaan akademik tertua dan terbesar di Eropah.

Beliau memaklumkan bahawa delegasi kerajaan negeri disambut mesra oleh Pengarah Perpustakaan Universiti Leiden, Kurt De Belder dan Pustakawan Subjek Asia Tenggara, Marije Plomp.

“Lawatan ini membawa makna yang cukup signifikan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh hubungan ilmiah antarabangsa serta memperluas akses kepada dokumen-dokumen penting berkaitan sejarah Melaka,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Jelasnya, antara objektif utama lawatan ini termasuk usaha mengumpul dan mendigitalkan dokumen sejarah Melaka, membina jaringan kerjasama dengan institusi penyelidikan dan perpustakaan antarabangsa, serta memastikan khazanah ilmu dan warisan sejarah Melaka dapat dimanfaatkan oleh generasi kini dan akan datang.

“Perpustakaan Universiti Leiden menyimpan lebih 254,291 koleksi termasuk buku, jurnal, artikel, disertasi, gambar dan peta yang terkait dengan Malaysia, khususnya Melaka.

“Antaranya ialah Kisah Perang Melaka, Undang-Undang Belayar karya Bendahara, Pantun-Pantun Melayu (Maleische Pantun) yang disalin di Sumatera sekitar tahun 1900, pelbagai undang-undang Negeri dan pelayaran, serta banyak lagi karya bernilai tinggi yang menjadi khazanah tidak ternilai bagi kajian dan pemeliharaan warisan.”

Ab Rauf menegaskan bahawa semua dokumen ini perlu dibawa pulang, dikaji dan dipelihara sebagai bukti kegemilangan Melaka yang pernah menguasai pentas maritim dunia.

“Kerajaan Negeri Melaka komited untuk terus melestarikan warisan sejarah negeri dengan usaha pengesanan, pengumpulan, dan pemetaan semula khazanah yang kini berada di institusi luar negara demi memartabatkan nilai sejarah dan keilmuwan Melaka agar terus diangkat dan dikongsi bersama dunia,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79