JKDM Pelengkap Kepimpinan Akar Umbi, Bukan Penggugat Kuasa Sedia Ada – Sharif Musa

KOTA KINABALU, 25 Jun – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyambut baik langkah proaktif oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika meluncurkan Gerak Kerja Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) Sabah dalam Majlis Penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

Katanya, penegasan tentang penubuhan JKDM amat penting iaitu bukan bertujuan untuk menggugat atau merampas kuasa mana-mana pihak, sebaliknya sebagai pelengkap kepada usaha sedia ada dalam menyantuni rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Hal ini dijelaskan bahawa JKDM bukan pesaing kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) negeri, tetapi rakan strategik dalam memperkasa pentadbiran akar umbi.

“Kalau JPKK itu mata yang melihat, JKDM adalah tangan yang bertindak.

“JKDM tidak harus dilihat sebagai ancaman, tetapi satu inisiatif memperkemas gerak kerja di lapangan, khususnya dalam usaha menghapuskan kemiskinan tegar di Sabah,” katanya.

Tambah beliau, JKDM bakal berperanan besar dalam menyelaras data e-Kasih dan maklumat semasa rakyat termiskin, agar bantuan dapat disalurkan secara lebih tepat dan berkesan mengikut keperluan zaman dan dasar kerajaan semasa.

“Sebagai rakyat Sabah kita penuh keyakinan, JKDM menerusi jawatankuasa, ia membolehkan data e-Kasih dan maklumat semasa rakyat termiskin terus dipantau selain rakyat dapat disantuni mengikut keperluan zaman dan wawasan, InsyaAllah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79