UMNO Sebuah Perjuangan, Suara Perwakilan Adalah Masa Depan Parti – Shamsulkahar

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli menyuarakan keyakinannya bahawa persidangan tahunan UMNO bahagian merupakan platform penting bagi akar umbi untuk menyampaikan suara serta pandangan mereka.

Menurut beliau, persidangan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh para perwakilan untuk menyuarakan isi hati secara terbuka.

“Persidangan UMNO Bahagian adalah medan dan ruang terbesar bagi seluruh perwakilan menyatakan apa yang terbuku dihati, ke mana arah kita hari ini mahu pun akan datang.

“Suara setiap dari perwakilan akan mencorak masa depan parti. Perwakilan diharap lebih pragmatik dan lebih terbuka dalam melontarkan pandangan dan tidak disekat dari menyatakan pendirian masing-masing.

“Kembalikan semula roh perjuangan parti UMNO… kerana disinilah bermulanya sebuah perjuangan agama, bangsa dan negara. Perjuangan tanpa rasa prejudis kepada mana-mana kaum, perjuangan yang telah mengangkat martabat ke seluruh pelosok dunia,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, kata Shamsulkahar lagi kebangkitan UMNO berlaku apabila parti mampu mengatasi segala rasa takut dan ambil iktibar daripada segala cabaran yang dihadapi ketika ini.

“Bidalan menyebut kebangkitan bermula apabila kita mengatasi ketakutan. Ianya dapat diimplementasikan dalam wadah perjuangan baru UMNO hari ini dan bukan soal bersama siapa kita, dimana kita hari ini dan apakah matlamat kita.

“Ianya lebih kepada bagaimana kita mengambil peluang serta iktibar dari apa sahaja yang sedang kita lalui sekarang dalam menjadikan UMNO kembali sebagai parti menjadi pilihan utama tempat rakyat berteduh,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau menyeru seluruh perwakilan agar mengangkat semula martabat parti dan bergerak seiring serta menghayati semangat asal perjuangan UMNO.

“Ayuh… seluruh perwakilan UMNO diseluruh negara, kita melangkah bersama memartabatkan kembali parti keramat bangsa melayu ini, kerana disinilah tertumpahnya air mata perjuangan bangsa.

“Air mata perjuangan agama dan air mata perjuangan tanah bertuah negara Malaysia. Selamat bersidang para pahlawan dan perjuang agama bangsa dan negara,” jelas beliau.

Mesyuarat perwakilan bahagian UMNO yang berlangsung setiap tahun merupakan antara komponen penting dalam proses demokrasi dalaman parti itu, yang menjadi asas kepada pemilihan pimpinan dan hala tuju UMNO secara menyeluruh.

Persidangan bahagian UMNO bermula 9 Jun hingga 27 Julai dan disusuli mesyuarat Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian.

Menyusul kemudian ialah Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79