UMNO Bukan Alat Politik, Terus Jadi Suara Rakyat – Salleh Said Keruak
KOTA KINABALU, 24 Jun – UMNO bukan hanya alat politik semasa pilihan raya tetapi ia adalah wadah perjuangan rakyat yang harus kekal relevan dan berfungsi sepanjang masa, termasuk di kawasan bandar dan juga luar bandar.
Demikian tegas Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak ketika merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu pada Ahad.
Beliau menyatakan walaupun UMNO tidak bertanding di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, tanggungjawab parti untuk memperjuangkan suara rakyat tetap tidak berubah dan tidak boleh dipinggirkan hanya kerana ketiadaan kerusi.
“UMNO bukan hanya alat politik semasa pilihan raya. Ia adalah wadah berkhidmat, menyantuni rakyat dan menjadi suara kepada masalah sebenar mereka,” katanya.
Salleh turut menekankan bahawa terdapat pelbagai isu mendesak di kawasan bandar yang perlu diberikan perhatian serius oleh parti seperti peningkatan kos sara hidup yang membebankan rakyat, kesukaran memiliki rumah mampu milik khususnya bagi golongan muda dan B40, peluang pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka, serta cabaran peniaga kecil yang berhadapan dengan ruang perniagaan yang dikuasai oleh pemain besar.
Menurut beliau, kesemua isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia menyentuh secara langsung kehidupan seharian rakyat di bandar.
Beliau menegaskan bahawa UMNO perlu memainkan peranan strategik walaupun tidak memiliki kerusi parlimen atau DUN, termasuk melalui usaha membina naratif parti yang lebih segar dan berkesan, mendekati belia bandar yang semakin kritikal terhadap politik semasa, serta menyokong rakan-rakan gabungan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
“UMNO Baharu mesti tampil lebih progresif, inklusif dan sentiasa dekat dengan denyut nadi rakyat iaitu bukan tunggu musim pilihan raya baru mahu turun padang,” ujarnya.
Katanya lagi, UMNO harus menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan kerja parti sepanjang masa, agar keyakinan rakyat terus terpelihara.
Beliau juga menyeru agar ahli UMNO terus melangkah ke hadapan dengan membawa semangat perjuangan lama yang diperbaharui dengan pendekatan dinamik yang lebih sesuai dengan cabaran semasa. – UMNO Online