PRN Sabah: BN Tanding Guna Logo Dacing, Terbuka Untuk Kerjasama Parti Lain
KOTA KINABALU, 24 Jun – Barisan Nasional (BN) akan bertanding menggunakan logo dacing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, namun tetap mengamalkan pendekatan terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu sentiasa mengadakan pertemuan dengan semua pihak kerana gabungan berkenaan percaya pada sikap keterbukaan dalam politik.
“Kita harap perbincangan semua positif. Tidak ada pintu yang harus dibuka seluas-luasnya dan tidak ada pintu yang ditutup serapat-rapatnya. Ertinya, ruangan perundingan dan kunjungan itu sering dilakukan.
“BN bertanding atas lambang dacing, tetapi kita tidak menolak kolaborasi dengan gabungan parti lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ahmad Zahid berkata perbincangan terperinci belum dapat dilakukan kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah belum dibubarkan, namun pertemuan dan perundingan akan dilakukan dengan lebih intensif apabila tiba masanya.

Mengenai isu pembahagian kerusi, Ahmad Zahid berkata perbincangan setakat ini tidak menyentuh perkara itu, tetapi BN tetap komited untuk mengelakkan pertandingan sesama sendiri.
“Yang terbaik ialah kita mempunyai sikap terbuka dan tentunya kita mencari rakan lebih ramai daripada mencari musuh,” katanya.
Penggal lima tahun DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini yang membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17. – BERNAMA