PET30: Pelan Strategik Transformasi Ekonomi Pahang 2025–2030 Dilancarkan

GENTING HIGHLANDS, 24 Jun 2025 – Kerajaan Negeri Pahang hari ini melancarkan Bengkel Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30) sebagai langkah strategik menyusun semula landskap ekonomi negeri secara lebih mampan, inklusif dan berpaksikan rakyat.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, memaklumkan bahawa kejayaan PET30 tidak boleh bergantung kepada dokumen dasar semata-mata.

Sebaliknya katanya, ia mesti diterjemahkan kepada tindakan nyata dengan pemantauan ketat, pelaksanaan berasaskan KPI dan sinergi rentas agensiPET30 merupakan satu pelan transformasi menyeluruh yang bukan sahaja berlandaskan kekuatan sumber negeri dan realiti semasa pasaran global, tetapi turut menzahirkan aspirasi rakyat negeri Pahang.

“PET30 bukan sekadar pelan pembangunan, tetapi satu pelan transformasi menyeluruh berasaskan kepada kekuatan sumber negeri, realiti semasa pasaran global, dan aspirasi rakyat.

“Ia dibina di atas tiga paksi utama iaitu kesejahteraan rakyat, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh sektor swasta,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Jelasnya, tiga paksi utama digariskan dalam pelan ini: kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar, dan pertumbuhan ekonomi yang dipacu sektor swasta.

“Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang (MPEN) yang diketuai oleh Tan Sri Nazir Razak memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju pelaksanaan PET30.

“Antara keutamaan PET30 merangkumi pemerkasaan industri agro-makanan, perladangan dan “advanced materials”, pembangunan pelancongan alam semula jadi, penjanaan modal insan dan tenaga kerja berkualiti, transformasi wilayah dan pemerkasaan daerah serta pemuliharaan hutan dan biodiversiti sebagai asas ekonomi hijau.

“Dalam pada itu, infrastruktur strategik seperti Gebeng, MCKIP, ECRL, Pelabuhan Kuantan, Pekan Automotive Park dan Lingkaran Tengah Utama (LTU) akan terus dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin pelaburan.”

Ujarnya, PET30 turut memanfaatkan pelbagai infrastruktur strategik sedia ada seperti Gebeng, Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Pelabuhan Kuantan, Pekan Automotive Park serta Lingkaran Tengah Utama (LTU) sebagai pemangkin pelaburan negeri.

“PET30 juga akan terus menekankan keadilan sosial, memastikan pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar, termasuk kawasan FELDA, kampung Orang Asli dan komuniti pedalaman. Keutamaan diberikan kepada akses kepada air bersih, pendidikan berkualiti, perumahan selesa dan liputan digital.

“Saya menyeru kepada semua pihak untuk menjadikan tahun 2025 hingga 2030 sebagai era pelaksanaan, bukan sekadar perancangan. Kita mesti keluar daripada zon selesa, bertindak secara tangkas dan bertanggungjawab sebagai arkitek masa depan Pahang yang lebih sejahtera.

“Saya yakin melalui PET30, kita mampu membina masa depan Negeri Pahang yang lebih makmur, lestari dan bersatu padu, demi manfaat seluruh rakyat dan generasi akan dating,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79