Persidangan UMNO: Bina Idea Bernas, Bawa Kebaikan Kepada Parti – Ashari
MUAR, 24 Jun – UMNO perlu dibina dengan idea-idea bernas yang membawa kebaikan kepada parti dan ia boleh dilontarkan ketika persidangan di peringkat bahagian masing-masing, kata Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Ashari Sarip.
Ujarnya, UMNO Bahagian Muar sentiasa bersama pucuk pimpinan parti dan menyokong segala usaha pemimpin tertinggi membawa suara akar umbi ke peringkat yang lebih tinggi.
“Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ada bersama kita pada hari ini. Apa sahaja yang beliau bawa terutamanya suara akar umbi dari Negeri Johor ke peringkat pusat, kami sentiasa bersama dengan Datuk Seri.
“Sebentar tadi ada beberapa usul yang telah dibentangkan ketika persidangan berlangsung. Untuk pengetahuan Datuk Seri, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Muar untuk tahun 2025 ini mencipta rekod dalam sejarah sepanjang saya menjadi ahli UMNO di sini.
“Mana tidaknya, jurucakap untuk mesyuarat pada tahun ini adalah yang paling ramai. Bukan itu sahaja, mesyuarat tahun ini turut mencipta rekod usul yang paling banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Muar yang diadakan di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua jurucakap yang telah berjaya membentangkan usul semasa persidangan tersebut berlangsung.
“Tahniah kepada jurucakap-jurucakap yang telah membentangkan usul sebentar tadi. Banyak idea yang telah dicurahkan dalam usaha membina semula UMNO. Hari ini, UMNO perlu dibina dengan idea-idea yang membawa kebaikan kepada parti.
“Untuk makluman, salah satu daripada usul yang telah dibentangkan oleh perwakilan hari ini ada menyentuh isu untuk mengurangkan perpecahan di dalam parti. Saya kira usul ini sangat bernas dan perlu dibawa ke peringkat atasan agar ia dapat diteliti dan dilaksanakan,” katanya. – UMNO Online