Pemimpin Johor Perlu Dekati Rakyat Dengan Konsisten – Norshida
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim melihat seruan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi agar pemimpin semua peringkat termasuk akar umbi untuk melaksanakan tanggungjawab sebaiknya amat tepat.
Menurut beliau seruan tersebut menerusi pendekatan mesra dan mudah didekati tentunya memberi manfaat yang cukup besar kepada rakyat dan juga parti itu sendiri.
“Dalam konteks ini, pendekatan “3T 1M” harus diamalkan dengan serius untuk memastikan keefektifan kerjasama antara pemimpin dan masyarakat.
“Pertamanya turun padang. Pemimpin perlu hadir secara aktif di lapangan dan berinteraksi dengan rakyat secara langsung. Ini bukan sahaja membina kepercayaan, tetapi juga memastikan mereka memahami keperluan dan isu yang dihadapi oleh masyarakat.
“Kedua ‘Teamwork’.Semua jabatan dan agensi perlu bekerjasama secara seiring untuk mencapai matlamat bersama. Penghapusan kerja secara silo penting untuk meningkatkan keberkesanan serta memberi penyelesaian yang lebih menyeluruh terhadap pelbagai isu.
“Ketiga ‘Te Syie Te Pan’. Isu-isu luar biasa memerlukan penyelesaian yang luar biasa. Oleh itu, pemimpin harus berusaha mengurangkan birokrasi untuk mempercepatkan tindakan dan memastikan masalah dapat diselesaikan dengan segera dan efisien,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Langkah seterusnya kata Norshida lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat adalah ‘Micromanage’.
Tambahnya pemantauan yang teliti dan sistematik amat penting untuk memastikan pelaksanaan dasar dan program berjalan dengan lancar.
“Pemimpin perlu sentiasa mengecek dan menyokong inisiatif yang diambil supaya hasilnya dapat dilihat, bukan sekadar berada di atas kertas.
Dengan mengamalkan prinsip-prinsip ini, pemimpin Johor bukan sahaja dapat mempererat hubungan dengan rakyat, tetapi juga dapat memastikan maruah dan reputasi UMNO serta negara terpelihara.
“Rakyat mengharapkan pemimpin yang peka dan tangkas dalam merespon keperluan mereka. Dengan itu, kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap kepimpinan akan dapat dipertingkatkan,” tambahnya. – UMNO Online