Naikkan Had Umur Puteri UMNO Bagi Teruskan Kesinambungan Kepimpinan

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dayang Nurazlin Nordin menyifatkan had umur ahli Puteri perlu dilanjutkan sehingga 40 tahun bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan sayap parti itu.

Menurut beliau ini kerana ia penting bagi memastikan kelangsungan dan kemandirian parti pada masa hadapan.

“Usul lanjutan had umur Puteri UMNO satu langkah yang perlu dinilai secara strategik demi memastikan kesinambungan kepimpinan wanita muda dalam parti.

“Kita tidak mahu suara anak muda sekadar jadi penyeri, tetapi menjadi pemacu kepada hala tuju perjuangan UMNO ke hadapan.

“Puteri UMNO adalah sayap penting parti! benteng hadapan dalam mendekati generasi muda, membawa naratif segar dan membina kepercayaan rakyat semula terhadap UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya bagi merasmikan Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Merbok Kedah.

Dayang Nurazlin dalam itu merakamkan penghargaan kepada Puteri UMNO Bahagian Merbok dalam menyemarak semangat perjuangan parti.

“Alhamdulillah, diberi ruang dan amanah merasmikan Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Merbok Kedah malam tadi. Terima kasih atas jemputan serta sambutan yang cukup meriah, mesra dan penuh semangat juang.

“Syabas Puteri UMNO Merbok, kalian membuktikan semangat juang itu masih menyala. Kita teruskan langkah, demi agama, bangsa dan tanah air,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79