KKDW Fokus Pemberdayaan Ekonomi Desa, Peningkatan Kemahiran Teknikal
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii memaklumkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sentiasa konsisten dalam merangka dasar-dasar berimpak tinggi.
Beliau berkata ia memberikan tumpuan kepada pemberdayaan ekonomi desa, peningkatan kemahiran teknikal, serta memperkukuh jaringan keusahawanan tempatan.
“Antara fokus utama adalah melahirkan generasi desa yang berdikari, mampu menjana pendapatan sendiri dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.
“Pendekatan ini tidak bersifat sementara, tetapi bersifat transformatif dalam mengubah minda dan cara hidup ke arah kemajuan,” katanya.
Mohd Razlan berkata demikian pada hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya merasmikan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) kelmarin.
Beliau dalam pada itu turut sama memaklumkan penekanan kepada para peserta bahawa pelbagai inisiatif sedang dan akan terus dirancang bagi membantu warga luar bandar keluar daripada kepompong kemiskinan dan membina kehidupan yang lebih sejahtera.
“Saya juga memaklumkan bahawa inisiatif seperti PPP ini bukan sekadar program bantuan tetapi satu proses perubahan jangka panjang yang memberi peserta ilmu, alat dan peluang untuk mencipta masa depan yang lebih cerah untuk diri sendiri, keluarga dan komuniti setempat.
“Dalam masa yang sama, saya mengharapkan sokongan berterusan daripada para peserta kepada kerajaan hari ini demi memastikan pelbagai inisiatif serta dasar lain turut dinikmati orang lain dan tidak terhenti setakat hari ini saja,” ujar beliau. – UMNO Online