Kadar Bayaran Balik Pinjaman Usahawan Wanita MARA Mencecah 93 Peratus – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah melaksanakan 67 program pemerkasaan wanita di seluruh negara dengan penglibatan 10,700 peserta sejak tahun lalu, kata Pengerusi Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau memaklumkan daripada jumlah tersebut, 6,654 usahawan wanita telah mendaftar perniagaan di SSM dan menerima pembiayaan melalui skim khas MARA seperti DanaNITA.

“Paling membanggakan, kadar bayaran balik pinjaman oleh usahawan wanita di bawah 17 skim pembiayaan ini mencecah 93 peratus, malah ada yang mencapai 99 peratus.

“Inilah bukti wanita adalah the real pay master yang sangat berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.

Dr Asyraf berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya pada Program Pemerkasaan Wanita Sabah 2025 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di SICC, Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan untuk Sabah sahaja, MARA telah menyalurkan RM31.2 juta daripada peruntukan RM100 juta tahun ini antara negeri tertinggi menerima peruntukan.

“Wanita desa kita bukan biasa-biasa. Jika diberi ruang dan peluang, mereka mampu menjadi pemacu utama ekonomi luar bandar yang luar biasa,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79