Hanya Kesetiaan Padu Mampu Bangkitkan UMNO – Nurul Aslina

PEKAN, 24 Jun – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pahang, Nurul Aslina Saman  menegaskan bahawa ketaatan dan kesetiaan pada parti adalah asas yang penting serta memastikan kelangsungan kejayaan UMNO.

Katanya yang berucap mewakili Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dalam mesyuarat Pergerakan Puteri UMNO Pekan, hanya dengan kesetiaan yang padu dan jitu dapat menghadapi cabaran dan rintangan bersama-sama.

“Saya harap puteri UMNO Pekan terus komited dan tetap terus setia bersama parti secara konsisten dalam meneruskan agenda perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Perjuangan UMNO adalah perjuangan yang kita warisi dari nenek moyang. Perjuangan yang telah mengubah nasib bangsa yang dipandang rendah kepada bangsa disegani.

“Perjuangan UMNO tidak pernah kenal erti penat dan lelah serta mengangkat anak bangsa. Betapa besar jasa perjuangan parti dan kini diuji dengan kekalahan pada pilihan raya lalu namun percayalah selagi ada rasa kesetiaan, cintakan parti ini dan UMNO pasti akan bangkit kembali.

“Dalam detak jantung perjuangan ada kesetiaan yang tidak akan goyah pada parti. Dalam setiap langkah perjuangan, kesetiaan pada parti adalah kompas utama menuju kejayaan akan datang,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Rahimi Abdul Samad dan Ketua Puteri UMNO Pekan merangkap Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Norshaidatul Akhmar Sharudin serta perwakilan bahagian.

Tambah Nurul Aslina, golongan muda perlu terus menjadi tumpuan dalam membina masa depan negara yang baik.

“Kita sentiasa mendekati jiwa anak muda dan anak muda susah hendak difahami dan anak muda mahukan insan yang sentiasa ada bersama-sama. Jaga anak-anak muda sekuatnya. Pengundi muda adalah tulang belakang adalah perubahan dan pembangunan masa depan.

“Oleh itu amat penting untuk kita menyantuni dan mendekati anak-anak muda dengan cara bermakna dan relevan,” katanya lagi.

Terdahulu Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi
telah mengadakan google meet bersama perwakilan Puteri UMNO Bahagian Pekan.

Ujarnya, semua ahli Puteri UMNO harus ke hadapan, dan menjadi orang paling matang dalam perjuangan.

“Saya meminta bersama-sama bersatu hati dan duduk dengan satu payung di bawah kepimpinan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pekan, Norshaidatul Akhmar Sharudin kerana dalam sekarang ini kita tidak mahu pecah dan parti memerlukan kita.

“Buatlah apa saja aktiviti yang boleh mengekalkan kemenangan dan mahu melihat UMNO Pekan menang. Pihak luar selalu membuat provokasi untuk melemahkan parti.
Pekan antara menjadi tumpuan di Pahang bahkan satu Malaysia, dan harap menjadi Puteri luar biasa,” ujarnya.

Untuk rekod, persidangan UMNO di peringkat cawangan-cawangan seluruh negara telah berlangsung pada 7 April 2025 sehingga 25 Mei 2025 yang lalu.

Persidangan UMNO peringkat bahagian pula telah bermula pada 9 Jun 2025 dan akan berakhir pada 27 Julai 2025 dan Perhimpunan Agung UMNO bakal berlangsung pada 20 sehingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79