BN Pensiangan Teguh Di Kawasan “Tetap BN”, Jentera Siap Siaga Hadapi PRN

PENSIANGAN, 24 Jun – Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Busiau Ampirak menegaskan bahawa anggota parti selaku jentera Barisan Nasional (BN) kawasan terbabit sentiasa komited memperjuangkan aspirasi rakyat dan mempertahankan perjuangannya di kawasan “Tetap BN”.

Beliau berkata, walaupun kawasan itu pernah ‘dipinjamkan’ seketika kepada pihak lawan, namun rakyat mahukan BN kembali dan kesetiaan bersama tidak pernah luntur.

Menurut beliau, jentera BN Pensiangan kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

“UMNO/BN Pensiangan hanya menantikan ‘gendang dipalu’ bagi memulakan langkah secara rasmi di medan demokrasi,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu, bahagian terbabit turut sama melaksanakan persiapan rapi ke arah PRN dengan pelaksanaan simulasi menyeluruh bagi memastikan kelancaran keseluruhan proses pilihan raya.

“Ini termasuk semakan daftar pemilih secara teliti, menyemak dan mengemas kini maklumat pengundi serta mengenal pasti kekuatan dan kelemahan jentera parti di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Kita tidak boleh mengambil mudah. Simulasi ini penting bagi mengukur keupayaan sebenar jentera kita dan memperbaiki segala kelemahan yang ada, termasuk aspek logistik, komunikasi serta penyelarasan antara bilik gerakan dan petugas lapangan,” ujar Busiau.

Beliau turut menekankan bahawa semangat kerja berpasukan dan disiplin yang tinggi dalam kalangan petugas di semua peringkat amat penting dalam menentukan kejayaan BN palam PRN nanti.

“Kebersamaan berterusan serta pengukuhan strategi menjadi agenda utama dalam tempoh persediaan ini.

“Semangat akar umbi cukup luar biasa. Kita akan pastikan suara rakyat kembali kepada BN secara mutlak dalam PRN akan datang.”

Beliau yakin, dengan pendekatan bersifat menyeluruh, strategi berfokus dan jentera yang bersedia, UMNO/BN Pensiangan akan dapat menyumbang kepada kejayaan untuk BN Sabah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79