Bina Jambatan Untuk Tarik Minat Anak Muda – Mohd Hairi

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Mohd Hairi Mad Shah mengajak ahli UMNO khususnya Pemuda untuk kembali kepada asas perjuangan parti keramat ini dalam membela nasib bangsa dan agama.

Beliau berkata Pemuda UMNO memainkan peranan penting dan perlu menjadi banteng dalam memahami denyut nadi rakyat.

“Pemuda mesti meluaskan rangkaian dan jaringannya. Pemuda UMNO tidak boleh lagi hanya bercakap sesama kita. Kita perlu buka pintu dan menarik minat anak muda di luar parti.

“Baik pelajar, usahawan muda, aktivis, penggiat seni, hingga ke belia profesional.

“Kita mesti bina jambatan dengan mereka, bukan membina pagar yang memisahkan kita daripada realiti luar,” katanya.

Mohd Hairi berkata demikian sempena perasmian Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa pada Ahad.

Katanya lagi, Pemuda UMNO juga perlu melaksanakan gerak kerja yang lebih strategik dan bersasar dengan fokus tertumpu dalam memberi kesan langsung kepada rakyat khususnya orang-orang muda.

Menurut beliau ia boleh dilaksanakan menerusi program-program yang dijalan menyelesaikan masalah sebenar dan bukan hanya bersifat syok sendiri.

“Cadangan saya, kita perlu wujudkan pusat rujukan untuk orang muda atau port orang muda.

“Kita perlu perbanyakkan program latihan TVET, dan wujudkan pasukan task force yang meneliti isu-isu kritikal orang muda seperti peluang pekerjaan, kesihatan mental dan perumahan.

Beliau dalam pada itu menyeru Pemuda UMNO untuk berfikir dan bertindak secara luar kotak dalam mendepani dunia politik hari ini yang sudah berubah.

“Kaedah lama sudah tidak relevan dalam dunia baharu.

“Kita perlu adaptasi, berinovasi dan menggunakan pendekatan politik mikro, lokal dan kreatif yang dekat di hati rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79