Ahmad Zahid Ucap Tahniah, Syabas Kepada Pelajar STPM

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang memperolehi keputusan peperiksaan pada hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut sama mendoakan terbaik kepada mereka dalam apa juga keputusan yang diperolehi.

“Hari ini tentunya menjadi detik yang dinanti-nantikan oleh 41,434 calon STPM 2024 yang akan menerima keputusan mereka.

“Apa pun keputusannya, saya doakan yang terbaik buat anda semua. Kalau dapat keputusan cemerlang, Alhamdulillah, teruskan usaha.

“Kalau belum seperti yang diharapkan, jangan risau. Ini bukan penamat, tapi satu permulaan.

“Banyak lagi peluang yang akan datang, insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut sama meluahkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru yang memberikan dukungan padu kepada anak dan para pelajar sepanjang mengharungi pembelajaran.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua! Anda telah melakukan yang terbaik.

“Terima kasih juga kepada ibu bapa dan para guru yang sentiasa menjadi penyokong utama di belakang kejayaan anak-anak ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79