UMNO Beaufort Terus Semangat Angkat Suara Rakyat Hadapi PRN17
BEAUFORT, 23 Jun – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) kali ini merupakan detik kebangkitan sebenar UMNO khususnya di kawasan Kuala Penyu dan Klias untuk kembali mengangkat suara rakyat yang sekian lama terpinggir.
Dalam program Dry Run PRN17 yang melibatkan kesemua 24 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Parlimen Beaufort, Awang Aslee menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera parti di empat peringkat iaitu Wanita, Pemuda, Puteri dan kepimpinan cawangan kerana telah menjayakan sesi tersebut dengan penuh komitmen.
“Langkah kita kali ini bukan langkah biasa, ia adalah langkah perjuangan. PRN17 ini kita mesti rebut semula kawasan ini demi masa depan yang lebih gemilang untuk rakyat Kuala Penyu,” tegas beliau kepada UMNO Online.
Terdahulu beliau telah mengadakan satu perjumpaan bersama Ketua-Ketua PDM, Ketua Wanita PDM, Ketua Jentera Bancian Sikap (JBS), serta Setiausaha PDM di DUN Kuala Penyu selain menyampaikan fail tugasan rasmi kepada jentera sebagai simbol kesiapsiagaan gerak kerja menuju PRN akan datang.
“Anggota parti adalah jentera yang bukan sekadar tulang belakang parti. Kalian adalah nadi perjuangan. Kita sudah muak membantu calon luar menang, hanya untuk diketepikan selepas mereka meraih kejayaan. Kali ini, kita memimpin, kita menyatukan, dan kita bangkit untuk rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Beaufort merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Siti Aminah Ancing yang turun padang memantau pelaksanaan dry run di beberapa PDM terpilih.
Walaupun masa yang diperuntukan terhad, kepimpinan UMNO Bahagian telah dibahagikan ke semua PDM bagi memastikan sesi latihan itu berjalan dengan lancar dan tersusun.
“Ayuh, kini masa kita sudah tiba. Bangkit dengan kekuatan, berjuang dengan keikhlasan yang lahir dari semangat juang yang tidak pernah padam,” katanya lagi. – UMNO Online