Pembangunan Ekonomi Elemen Penting Perkasa Agenda Wanita

KUALA PILAH, 23 Jun – Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid memaklumkan pembangunan ekonomi sebagai elemen penting dalam memperkasa agenda wanita.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan berkata melalui pendekatan tersebut ia membuka peluang kepada golongan wanita menjana pendapatan sendiri.

“Ada tiga landasan utama antaranya pembangunan ekonomi wanita melalui kemahiran dan keusahawanan, wanita boleh UMNO berdikari.

“Kita mahu suri rumah, ibu tunggal dan wanita muda mempunyai akses kepada pendapatan sendiri supaya mereka tidak perlu bergantung kepada simpati orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan sempena Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah di Dewan Dato’ Bahaman yang berlangsung Jumaat lalu.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim; Timbalan ketua, Datuk Adnan Abu Hassan serta kepimpinan lain.

Mengulas lanjut, beliau turut sama menyentuh berkenaan peranan wanita dalam politik dan pendidikan politik.

“Penyertaan politik Wanita UMNO yang lebih bermakna kita bukan sekadar menjadi pemerhati tetapi mahu menjadi pemimpin yang dihormati. Kita mahu wanita berada di posisi utama dalam parti dan juga di pentas demokrasi.

“Pendidikan politik untuk membina kader supaya kita boleh memimpin proses pemindahan ilmu, nilai dan semangat perjuangan kepada generasi baharu,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79