Payung Besar: Sampai Bila Orang Melayu Nak Berpecah? – Mohd Sharkar

ISKANDAR PUTERI, 23 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin mempersoalkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menubuhkan Sekretariat Orang Melayu kononnya dengan tujuan untuk menyatukan bangsa.

Ujarnya, orang Melayu kini dilihat semakin berpecah dek kerana tertubuhnya banyak parti Melayu yang diasaskan dengan dendam dan perasaan tidak puas hati kepada parti keramat UMNO.

“Tun Mahathir ini dah jadi Perdana Menteri selama 22 tahun 22 bulan. Apa yang berlaku sekarang ini pun adalah kesan daripada beliau menjadi Perdana Menteri dahulu. Jadi, saya kira bahawa isu ‘payung Melayu’ ini hanyalah untuk menarik perhatian rakyat.

“Kita dah ada banyak sangat parti Melayu maka berapa banyak lagi yang nak ditubuhkan? Dulu, tak puas hati kalah bertanding jawatan presiden, tubuhkan Pas. Kemudian tubuh Semangat 46… kemudian kembali kepada UMNO. Tak puas hati dengan UMNO, tubuh PKR, PPBM… sampai bila kita sebagai orang Melayu nak berpecah?

“Dulu kita tengok ada banyak parti kaum Cina dan India. Melayu ada satu atau dua parti sahaja. Sekarang ini, parti Melayu yang banyak dan orang Cina dilihat lebih bersatu daripada kita. Jadi, tidak perlulah kita nak tubuhkan apa jenis ‘payung’ sekali pun,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berkata, seeloknya mereka mengambil inisiatif untuk kembali kepada ‘payung Melayu’ yang asal iaitu UMNO.

“… yang ada semuanya (bentuk payung Melayu) itu dulu semuanya bekas ahli UMNO. Tun Mahathir, Tan Sri Annuar Musa… kebanyakannya semua itu daripada UMNO. Pas pula memang pembangkang maka sesiapa sahaja yang melawan UMNO/Barisan Nasional (BN) mereka akan sokong.

“Sekarang ini kita kena akui… ketika beliau menjadi Presiden, semua memberikan sokongan. Kemudian orang lain pula jadi Presiden, sokongan perlu diberikan kepada orang baharu. Bukannya pada zaman tersebut beliau tidak melakukan kesalahan tetapi disebabkan tiada media sosial… kita tidak besar-besarkan seperti sekarang.

“Saya cadangkan supaya semuanya kembali, masuk ke dalam payung besar kita iaitu UMNO. ‘We start from zero’. Macam dahulu Tun Mahathir pernah buat dengan memansuhkan Semangat 46, masukkan mereka semua ke dalam UMNO. Kalau insan macam Tengku Razaleigh boleh berlapang dada, menerima hakikat bahawa kita mahukan orang Melayu bersatu… masuklah payung UMNO.

“Inilah payung sebesar-besarnya yang telah memerintah negara selama 68 tahun. Tidak terhitung jasanya kepada negara, terutamanya dalam menyatupadukan orang Melayu,” katanya lagi.

Pada 4 Jun media melaporkan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung besar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu.

Menurut beliau, gerakan yang tidak bermotifkan politik itu bertujuan menjadi wadah bagi menyelesaikan masalah dan isu dihadapi orang Melayu yang disifatkan gagal ditangani kerajaan hari ini.

Jelas beliau, gerakan atau sekretariat itu juga bertujuan untuk mencari jalan supaya orang Melayu dapat menguasai semula kerajaan.

Ujarnya, apa yang berlaku ketika ini orang Melayu berpecah-belah dan dibezakan dengan fahaman politik sekaligus menyebabkan mereka gagal dalam banyak perkara. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79