Label Politik Tidak Pernah Gugat Keikhlasan UMNO Perjuang Hak Melayu, Islam – Mohamed Khaled
MUAR, 23 Jun – Label politik seperti ‘UMDap’ yang dimainkan oleh pihak lawan tidak pernah menggugat keikhlasan UMNO untuk terus berjuang bagi mempertahankan bangsa Melayu dan agama Islam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesetiaan ahli parti amat penting pada ketika ini untuk membina ketumbukan dan kekuatan parti dalam situasi yang sebegini.
“Saya sangat gembira melihat ramai hadir dan menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada UMNO. Sebagai pemimpin parti, saya ucapkan terima kasih kepada semua ahli UMNO Bahagian Muar yang telah memberikan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti.
“Kesetiaan sangat penting lebih-lebih lagi apabila parti hadapi pelbagai cabaran untuk membolehkan kita membina ketumbukan, kekuatan dan membantu parti membuat keputusan berat yang mungkin tidak difahami serta disukai bukan sahaja oleh orang luar, malah dikalangan anggota parti.
“Kesetiaan kepada parti sebenarnya menyumbang kepada ahli-ahli untuk tidak terpengaruh. Pada hari ini, ada juga pemimpin yang lompat tapi kita tidak terpengaruh. Ada juga yang dapat tempat, beralih arah semata-mata bukan kerana perjuangan… mungkin kerana jawatan, habuan dan kedudukan. Terima kasih kerana masih setia bersama UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Muar yang telah berlangsung di sini, pada Ahad.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, label politik yang dimainkan hanyalah untuk melemahkan semangat ahli dan akar umbi.
“Masih ada lagi ramai yang mempersoalkan kedudukan kita dalam Kerajaan Perpaduan. Kerjasama kita dengan Pakatan Harapan (PH) dikatakan sebagai parti tidak berprinsip, gadaikan perjuangan, gilakan kuasa dan pelbagai tohmahan lain. Apatah lagi dilabel sebagai UMDap yang sedikit sebanyak menggugat keyakinan di kalangan kita.
“Sebenarnya, semua itu adalah sebagai label politik yang sekali pun tidak pernah menggugat keikhlasan, niat dan ketulusan perjuangan kita untuk angkat orang Melayu dan agama Islam. Kita tepuk dada, sebagai pemimpin peringkat akar umbi apabila menyertai Kerajaan Perpaduan, adakah tercetus sedikit pun rasa untuk gadai pejuangan?
“Saya fikir tidak ada sedikit pun. Ia hanyalah satu label politik yang bertujuan untuk melemahkan semangat kita. Satu label politik yang bertujuan untuk kita bercakaran sesama sendiri agar berasa jijik berada dalam Kerajaan Perpaduan dan juga tidak boleh bekerjasama dengan Dap,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa UMNO mesti menang dan kembali dominan pada masa akan datang maka Kerjasama bersama PH untuk membentuk Kerajaan Perpaduan perlu digunakan sebaiknya bagi menggamit sokongan rakyat.
“Soalnya UMNO mesti menang. Tapi macam mana nak menang? Kita ada 222 kerusi Parlimen. 191 kerusi punya UMNO bahagian dan kita tahu bahawa hanya ada 79 kerusi komposisi Melayu melebihi 70. Muar ini hanya 62 peratus dan kita tahu undi Melayu pecah. Kalau bersama, Perikatan Nasional (PN), mungkin kita hanya kekal bertanding di 30 kerusi sedia apa.
“Soalnya, bagaiaman kita perlu berjaya apabila meletakkan calon kita? Kalau kita lihat Parlimen Muar ada 70,000 pengundi. Ahli UMNO hanya 23,000. Tetapi pada pilihan raya lepas, UMNO hanya dapat 14,000 undi. Bergantung kepada pengundi UMNO tak cukup. Bagaimana nak menang? Begitu juga dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) samada Sungai Balang nak dipertahankan ataupun rampas semula Maharani?
“Kehadiran UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah semata-mata sebagai satu jarimgan perubahan strategi politik. Ia bukan perubahan prinsip dan nilai. Ia tidak berubah. Atas sebab itu kita pastikan apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan ini, tujuannya juga adalah supaya kita dapat menggunakan pengaruh yang ada melalui kuasa dan kedudukan untuk tingkatkan sokongan orang Melayu supaya kembali kepada kita,” katanya lagi. – UMNO Online