Khidmat UMNO Bukan Retorik, Mohd Zaidy Buktikan Komitmen Melalui Tindakan
JEMPOL, 23 Jun – “UMNO hari ini tidak lagi boleh bersandar pada slogan semata-mata. Yang rakyat mahu lihat ialah kerja dan hasilnya,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, yang terus melaksanakan gerak kerja berteraskan khidmat sebenar kepada rakyat.
Beliau bersetuju dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa gerakan UMNO bukan retorik untuk mengukuhkan parti, tetapi kekuatan akar umbi, kesetiaan dan kesatuan hati iaitu mesti kekal istiqamah, tidak tunduk kepada tekanan, dan terus memimpin dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Sebagai pemimpin UMNO, saya percaya bahawa rakyat hari ini menilai melalui tindakan, bukan ucapan. Setiap aduan, setiap keluhan, wajib kita dengar dan tangani dengan tuntas. Inilah erti sebenar perjuangan dan khidmat UMNO tidak pernah terhenti,” katanya.
Dalam hal ini, beliau telah mengadakan lawatan ke Felda Palong 2 bagi meninjau sendiri kerja-kerja naik taraf infrastruktur yang telah siap sepenuhnya.
“Masalah ini telah sekian lama menghantui penduduk setempat dan menjadi antara rungutan utama sejak bertahun-tahun.
“Sejak diberi amanah sebagai wakil rakyat DUN Jeram Padang pada Ogos 2023, saya terus mengambil langkah proaktif bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu ini demi kepentingan masyarakat.
“Alhamdulillah, hari ini saya dapat menyaksikan sendiri bahawa segala permasalahan yang membelenggu penduduk sebelum ini telah berjaya diselesaikan sepenuhnya. Saya merasa amat bersyukur dan berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yakin, sekiranya pendekatan proaktif dan tidak menunggu masa untuk bertindak maka hasilnya, isu yang terbengkalai akan dapat diselesaikan malah membawa kelegaan dan senyuman kepada komuniti setempat.
“Ini bukan kerja sehari dua. Ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya, sambil merakamkan penghargaan kepada JKR Daerah Jempol dan Selia Selenggara Sdn Bhd atas komitmen mereka.
Terdahulu, beliau turut meluangkan masa menghadiri Program Ziarah Kasih Komuniti Madani di Felda Palong 2 yang merupakan inisiatif berjiwa rakyat bertujuan menyantuni golongan memerlukan.
“Dalam kesempatan ini, saya telah menziarahi seramai 11 orang anak-anak istimewa di kediaman masing-masing. Setiap kunjungan membuka ruang untuk memahami lebih dekat kehidupan mereka serta keperluan yang perlu terus diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan komuniti.
“Inilah nilai sebenar UMNO iaitu mendekati rakyat, memahami keperitan mereka dan mencari jalan penyelesaian yang adil dan menyeluruh. Politik bukan sekadar menang pilihan raya, tetapi memikul amanah yang besar terhadap kehidupan rakyat.”
Mohd Zaidy menegaskan bahawa perjuangan UMNO hari ini harus berpaksikan perubahan yang nyata, bukan retorik kosong, dengan menumpukan kepada agenda kebajikan rakyat, pembangunan setempat dan penyelesaian masalah yang tertangguh.
“UMNO mesti terus istiqamah. Kita tidak boleh tunduk kepada tekanan luar yang cuba memecah-belahkan perpaduan parti dan rakyat. Khidmat kita mesti tulus, kerja mesti selesai, dan rakyat mesti merasai hasilnya,” katanya lagi. – UMNO Online