Buku Panduan Naratif UMNO: Strategi Komunikasi Jawab Isu, Tangani Persepsi – Mohd Zaidi
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Penerangan UMNO Malaysia telah mengambil inisiatif dengan menerbitkan Buku Panduan Naratif sebagai persediaan kepada Ketua-ketua UMNO Bahagian, jurucakap serta barisan kepimpinan parti dalam memberikan penjelasan terhadap isu-isu semasa, menerangkan permasalahan yang timbul serta menjawab tohmahan pihak pembangkang.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zin berkata, penerbitan buku naratif ini menjadi satu rujukan penting bagi memastikan penyampaian penjelasan parti lebih teratur dan selari antara semua peringkat.
“Dengan adanya buku ini, penjelasan yang diberikan di setiap bahagian dan negeri dapat diselaraskan. Namun begitu, buku ini bukanlah satu-satunya rujukan mutlak. Bahagian-bahagian juga digalakkan untuk menambah fakta dan maklumat terkini berdasarkan situasi semasa,” jelas beliau.
Menurutnya, penyusunan kandungan buku ini dibuat berdasarkan kronologi masa, tempat dan peristiwa bagi memudahkan pemahaman serta pengolahan naratif secara sistematik.
“Jika kita benar-benar memahami naratif ini, maka penjelasan yang disampaikan kepada akar umbi akan lebih mudah difahami. Tanpa buku ini, kadangkala penjelasan menjadi terlalu panjang dan kurang fokus. Buku ini memberi intipati kepada jawapan sebenar,” katanya kepada UMNO Online.
Dr Zaidi, yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi, menekankan kepentingan penyampaian fakta yang tepat, teratur dan mudah difahami, terutama ketika berdepan dengan isu yang dimainkan oleh pihak lawan.
“Kita mahu setiap pemimpin mampu memberi jawapan yang tepat dan meyakinkan. Dalam buku ini, terdapat panduan khusus bagaimana sesuatu isu perlu dijawab. Jika disampaikan dengan baik dan tersusun, insya-Allah rakyat yang mendengar tidak akan keliru, bahkan akan memahami kedudukan sebenar parti,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan agar semua Ketua Penerangan, Ketua Bahagian, ketua-ketua sayap serta biro politik UMNO memahami sepenuhnya isi kandungan buku ini supaya mereka bersedia menjawab apa jua persoalan yang dibangkitkan.
Untuk rekod, Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia ini telah dilancarkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said pada 9 Jun lalu. Ia disediakan khusus sebagai panduan komunikasi bagi semua pemimpin dan jentera UMNO, khususnya menjelang Mesyuarat Bahagian Tahun 2025.
Buku ini memainkan peranan penting sebagai rujukan utama dalam memperkukuh naratif parti serta menjawab persoalan rakyat berhubung isu-isu semasa dan hala tuju UMNO. – UMNO Online