‘Ambil Pengajaran, Jangan Lagi Salah Percaturan Terutama Tarikh Pilihan Raya’

PONTIAN, 23 Jun – Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan UMNO perlu mengambil pengajaran terutama membabitkan keputusan penting parti.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ini termasuk pemilihan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU).

“Sebenarnya UMNO bukanlah lemah sebagaimana disangka tetapi kita silap buat keputusan apabila memanggil tempoh pilihan raya.

“Pada saya jangan silap membuat keputusan-keputusan besar apabila hendak menghadapi PRU.

“Masa memainkan peranan sangat penting bila PRU perlu diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Pontian yang berlangsung semalam.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi; Timbalan Ketua, Datuk Mohd Sumali Reduan serta kepimpinan lain.

Mengulas lanjut kata beliau lagi, memberikan kesan lagi apabila UMNO/BN sebelum itu memenangi beberapa siri pilihan raya yang menunjukkan momentum sokongan rakyat berada pada tahap terbaik.

“Hari itu sepatutnya kita mengadakan PRU selepas menang 21 daripada 28 di Melaka pada November 2021. Kemudian pada Disember 2021, Sarawak menang besar daripada 82 kerusi pembangkang hanya 6. Selepas itu di Johor, bulan Mac 2022 BN menang 40 daripada 56.

“Sepatutnya pilihan raya perlu diadakan bulan April atau Mei, ketika Datuk Seri Najib Razak masih lagi boleh berkempen, ketika UMNO tidak dikelirukan dengan pelbagai isu,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79