Ahmad Zahid Rakam Takziah, Isteri Premier Sarawak Meninggal Dunia
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, atas pemergian isteri tercinta, Allahyarhamah Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan yang amat besar bukan sahaja kepada Premier Sarawak dan keluarga, malah kepada seluruh rakyat negeri itu.
“Allahyarhamah adalah seorang wanita yang lemah lembut, penuh budi pekerti serta amat dekat dengan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan, khususnya dalam memperkasa wanita dan komuniti di Sarawak. Kehilangan beliau amat dirasai oleh semua yang mengenali dan menghargai jasa serta sumbangan beliau selama ini,” katanya dalam hantaran menerusi UMNO Online.
Ahmad Zahid yang mewakili Kerajaan Persekutuan turut hadir pagi ini menziarahi keluarga Premier Sarawak bagi menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan solidariti seluruh rakyat Malaysia atas kehilangan yang amat menyentuh hati itu.
“Saya mewakili Kerajaan Persekutuan hadir pagi ini menziarahi keluarga YAB Premier Sarawak, menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan solidariti serta doa seluruh warga Malaysia atas kehilangan yang amat dirasai ini.
“Saya mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Semoga YAB Premier dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan, ketabahan serta reda dalam menghadapi saat yang penuh ujian ini,” katanya lagi. – UMNO Online