Rumah UMNO Terus Kukuh, Semakin Diterima Generasi Baharu – Abdul Rahman
LIPIS, 22 Jun – UMNO telah lama mencipta banyak kejayaan dan parti ini telah bangkit kembali di bawah kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan di peringkat negeri Pahang diterajui oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Abdul Rahman juga Ketua UMNO Bahagian Lipis seterusnya berkata kebangkitan parti ini telah memperlihatkan banyak perubahan yang berlaku.
Katanya, rakyat sudah sedar bahawa perjuangan selama ini adalah hasil dari UMNO yang memayungi orang-orang Melayu.
“Rumah UMNO ini sebenarnya sangat kukuh dan tidak perlu dipertikaikan. Sudah pasti generasi baharu yang masih kurang mengenali tetapi daripada penglihatan mereka bahawa UMNO sudah berubah kerana mereka dapat membezakan antara pemimpin-pemimpin UMNO memerintah negara sehingga beberapa Perdana Menteri selepas itu.
“Perubahan ini telah berlaku apabila UMNO adalah sebahagian dari kerajaan dan pemimpin parti banyak ke depan dari pelbagai sudut sebenarnya. Kita juga mempunyai akar umbi yang sangat kukuh dan terbesar bagi orang Melayu serta percaya pada perjuangan parti.
“Saya percaya bahawa UMNO akan bangkit pada masa mendatang ini dan Insya Allah akan mendapat banyak kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dan akar umbi berikrar akan berkerja bersungguh-sungguh untuk pertahankan Parlimen Lipis serta dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta dan Padang Tengku serta merampas kembali DUN Cheka,” katanya kepada UMNO Online.
Turut hadir pada majlis perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Lipis ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Siti Sokleha Nordin, Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Kamil Ibrahim serta perwakilan.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA) yakin bahawa Parlimen Lipis dan Dun di sini adalah tempat permulaan UMNO memperolehi kejayaan pada pilihan raya akan datang.
“Saya amat yakin dengan bantuan rakan-rakan serta penyelaras di DUN Cheka, Insya Allah… UMNO akan merampas kembali serta menghadiahkan negeri Pahang ini tiga DUN dan satu Parlimen ke pusat. Ini terbukti bahawa UMNO masih majoriti yang besar di peringkat Parlimen Lipis dan DUN Benta dan di DUN Cheka hanya kalah sedikit saja.
“Wakil rakyat DUN Cheka ini jarang-jarang balik kawasan dan percaya sekiranya pilihan raya makin dekat maka tidak mustahil wakil rakyat itu akan balik ke tempatnya tetapi kita mahu seorang pemimpin yang sentiasa memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya lagi.
Pada masa yang sama Ahli Parlimen Lipis turut mengingatkan kepada mereka yang selalu menguar-uarkan bahawa slogan ‘Pas teraju Pahang’ bukannya perkara yang mudah.
“Pas Teraju Pahang’…. jangan bermimpi di siang hari. UMNO dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan di negeri dan juga negeri-negeri lain.- UMNO Online