Perkasakan Media Sosial Promosi Prestasi Lawan Persepsi – Wan Rosdy

TANAH RATA, 22 Jun – Menteri Besar Pahang merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru seluruh ahli parti memperkasakan peranan masing-masing dalam menguasai arena media sosial.

Ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang itu, prestasi terbaik yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri harus disampaikan dengan sebaiknya kepada rakyat agar mereka tidak terpengaruh dengan persepsi dan sentimen yang dimainkan pihak lawan.

“Tidak memadai dengan prestasi sahaja, peranan media sosial harus kuat dan sampai kepada pengetahuan rakyat supaya mereka dapat memahami apa yang telah kerajaan negeri lakukan.

“Kerana saya dapati ada sebahagian besar rakyat yang tidak mendapat maklumat secukupnya sebagai contohnya Bantuan Prihatin Pahang, Inisiatif Rakyat Makmur Pahang… ada rakyat yang tidak tahu pemberian dan sumbangan daripada kerajaan negeri.

“Ini semua kena sampai kepada rakyat supaya sekiranya ada pihak yang memainkan persepsi atau sentimen, rakyat mampu memikirkan dan boleh tahu perkara yang dimainkan itu tidak benar dan hanya memainkan emosi rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands di sini, Sabtu yang dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Selain merakamkan penghargaan, Wan Rosdy turut memuji ucapan Dr Asyraf Wajdi dan amanat yang disampaikan sangat baik untuk dijadikan panduan kepada perwakilan dan ahli parti.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, berkata selain penguasaan media sosial, setiap ahli perlu mempunyai ilmu agar dapat berhujah dengan menggunakan fakta.

“Lebih penting ialah berhujah dengan fakta dan tunjukkan kepada rakyat bahawa kita bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

“Ini akan membuatkan rakyat memikirkan prestasi itu lebih penting dan menjadi ukuran sama ada kerajaan itu bekerja untuk rakyat atau tidak,’ kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu.

Terdahulu, di dalam ucapan aluan Wan Rosdy berkata berdasarkan pengalamannya, walaupun kerajaan negeri telah menunjukkan prestasi yang terbaik, tetapi rakyat lebih terpengaruh dengan persepsi yang dimainkan oleh pihak lawan.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Wan Rosdy berkata UMNO perlu dominan untuk bangkit semula dan perlu meminimakan masalah dalaman jika ada dan sebaiknya tidak perlu wujud perkara sedemikian.

“Kita kena bersatu dan bekerja kuat, pastikan relevan dan bangkit semula kerana kita tahu bahawa UMNO adalah sebuah parti berstruktur dan kita harus bekerja sebagai satu pasukan untuk pastikan kemenangan.

“Sekiranya perkara ini dapat kita laksanakan, insya-Allah kita dapat memenangi hati dan jiwa rakyat untuk bersama dengan UMNO,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79