Penting Akar Umbi Memahami Peranan UMNO/BN Dalam Kerajaan Perpaduan – Mohamed Khaled

MUAR, 22 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpandangan bahawa penting untuk akar umbi memahami peranan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ujarnya, ahli dan akar umbi perlu diperjelaskan bahawa tiada satu pun parti mahupun gabungan yang dominan untuk membentuk kerajaan dan tidak ada perikatan politik akan kekal selamanya.

“Pentingnya untuk akar umbi memahami mengapa kita ada dalam Kerajaan Perpaduan dengan menekankan bahawa tiada parti yang dominan dan tidak ada perikatan kekal selamanya. Mana-mana perikatan politik tidak semestinya kekal. Dah banyak contoh. Kita mesti menang dan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mampu memenangkan dan membolehkan UMNO bertanding di banyak tempat. UMNO tentunya akan bertanding di banyak tempat yang Perikatan Nasional (PN) menang.

“Kita ada dalam Kerajaan Perpaduan kerana kebersamaan agenda untuk menstabilkan politik, pulihkan negara selepas COVID-19. Saya juga sarankan kepada UMNO untuk mengubah budaya sekiranya mahu kekal relevan. Ia mesti lebih inklusif… bercakap kepada soal-soal yang mencerahkan dan memberi penyelesaian kepada negara,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Muar, di sini, sebentar tadi.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, UMNO perlu bersyukur di atas keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Tadi di Batu Pahat, saya beritahu bahawa UMNO perlu bersyukur atas keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak. Seperti kita sedia maklum Datuk Seri Najib banyak kali beritahu biarlah dia dihadapkan ke mahkamah dengan perbicaraan yang adil. Pada Jumaat, mahkamah telah buat keputusan. Kita bersyukur kerana dia dalam banyak-banyak kes, ini antara kes yang mahkamah buat keputusan DNAA.

“Keduanya, saya turut membangkitkan soal perlunya kesetiaan dalam parti dan mengecam amalan lompat-melompat serta tidak ada kesetiaan ini. Saya juga berharap parti-parti yang bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan menghormati, tidak memberi ruang kepada amalan ini berterusan dengan menampung dan menerima mana-mana anggota parti yang melompat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap agar setiap persidangan yang berlangsung di peringkat bahagian pada kali ini akan mengakrabkan lagi persaudaraan sesama akar umbi demi meneruskan perjuangan parti.

“Saya berharap supaya setiap persidangan itu menjadi platform untuk kita meningkatkan persaudaraan, persahabatan dan keakraban bagi tujuan perjuangan kita.

“Saya juga berharap supaya persidangan akan datang menjadi platform untuk memberi pencerahan kepada segala masalah yang dihadapi bangsa dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79