Pemimpin Johor Semua Peringkat Diseru Laksanakan Amanah Sebaiknya
PONTIAN, 22 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru pemimpin semua peringkat termasuk akar umbi untuk melaksanakan tanggungjawab sebaiknya.
Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata ini kerana Johor merupakan satu-satunya negeri yang dikemudi sepenuhnya oleh pemimpin Barisan Nasional (BN).
“Negeri Johor satu-satunya negeri yang ditadbir oleh BN daripada atas sampai ke bawah iaitu pemimpin-pemimpin UMNO, MCA, MIC. Kita kena buktikan bahawa di bawah kepimpinan kita, Johor ditadbir dengan baik.
“Termasuklah ketua-ketua kampung, ahli-ahli majlis, semua kena mainkan peranan.
“Saya menyeru kepada pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi, pemimpin-pemimpin UMNO, sama-sama kita bergerak, bangunkan negeri Johor yang kita cintai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Pontian yang berlangsung hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Ketua, Datuk Mohd Sumali Reduan serta kepimpinan lain.
Mengulas lanjut kata beliau ini kerana amanah dipikul tersebut merupakan imej dibawa mewakili parti.
“Sebagai seorang pemimpin dari UMNO, saya tahu bahawa saya sebagai pemimpin ada tanggungjawab yang besar.
“Anda pemimpin akar umbi juga mempunyai tanggunjawab besar kerana kalau tidak boleh buat yang terbaik untuk kawasan masing-masing yang tercalar imej bukan kita sahaja.
“Kerana yang menjadi pertimbangannya adalah maruah UMNO sedangkan parti kita ini bertekad membela agama bangsa dan tanah air,” ujar beliau. – UMNO Online