‘Jasa UMNO, Realiti Sejarah Yang Tidak Boleh Dinafikan’ – Ismail
KUALA PILAH, 22 Jun – Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim menyifatkan UMNO merupakan parti yang berjasa kepada rakyat serta membina negara sejak awal penubuhannya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan berkata jasa dilakukan UMNO merupakan fakta yang perlu diakui semua pihak.
“Dalam tempoh 79 tahun UMNO sebagai sebuah parti perjuangan telah banyak menabur bakti kepada rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.
“Ini satu realiti sejarah yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan sempena Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah di Dewan Dato’ Bahaman, Sabtu.
Turut hadir Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Timbalan ketua, Datuk Adnan Abu Hassan; Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid serta kepimpinan lain.
Bagaimanapun kata Ismail, UMNO tidak boleh hanya bernostalgia dengan pengorbanan sebelum ini, sebaliknya perlu berhadapan realiti masa kini.
Menurut beliau, UMNO juga perlu bergerak mengikut peredaran zaman bagi memastikan parti ini terus relevan mendepani landskap politik masa kini.
“Hari ini kita dalam parti tidak lagi boleh bernostalgia dengan jasa UMNO selama ini. Sebaliknya kita perlu melahirkan generasi Melayu termasuk wanita yang kritis, celik maklumat, pakar teknologi dan sebagainya kerana hari ini merupakan suatu cabaran kepada perjuangan UMNO.
“Memang cabaran kerana maklumat di hujung jari, maksudnya UMNO kena bergerak lebih laju sesuai dengan peredaran masa.
“UMNO mesti kehadapan dalam politik yang bukan semata sejarah sahaja tetapi menyelesaikan masalah persepsi. Maka kita perlu mendalami teknologi maklumat bagi mengkis persepsi,” ujar beliau. – UMNO Online