Jangan Berpecah, Kekal Kukuh Bersama Rakyat – Dr Akmal
LIPIS, 22 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menasihati ahli parti agar jangan berpecah belah meskipun parti berdepan cabaran besar dengan jumlah kerusi yang semakin berkurangan.
Menurut beliau, kekuatan dan perpaduan akar umbi adalah kunci utama untuk kembali meraih kemenangan, khususnya di negeri Pahang.
“UMNO jangan berpecah belah walaupun tinggal 26 kerusi Parlimen dan di Pahang hanya 17 kerusi DUN yang tinggal. Saya percaya sekiranya UMNO kuat dan tidak berpecah belah sudah pasti Pahang pasti menang pilihan raya.
“Setiap akar umbi ada tanggungjawab masing-masing untuk kita menang pilihan raya dan satu lagi tanggungjawab Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO adalah kita semuanya jentera parti. Sekarang ini rakyat semakin bijak dan mereka mahu melihat pemimpin yang bukan hanya menang pilihan raya tetapi pemimpin yang jaga susah dan senang bersama rakyat di kawasan tersebut.
“Rakyat mahu melihat pemimpin yang boleh duduk satu meja, mendengar permasalahan mereka dan bukannya tiba pilihan raya, menang dan hilang serta tinggalkan rakyat,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lipis, Sabtu.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mustapa Long, Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Siti Sokleha Nordin, Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Kamil Ibrahim serta perwakilan mesyuarat UMNO Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Lipis.
Tegas Dr Akmal, pemimpin UMNO yang ada hari ini adalah pemimpin ‘Yang Berkhidmat’ dan bukannya ‘Yang Berhormat’ dan masing-masing sentiasa buat kerja walaupun pernah menjadi pembangkang.
“Pemimpin UMNO masa menjadi pembangkang kerja tetap jalan, orang sakit pemimpin tetap menziarahi, bencana alam dan sebagainya. Sebabnya… UMNO mengajar ahli parti untuk menjadi pemimpin dan melaksanakan tanggungjawab sebaiknya.
“Kita tidak ada masa lagi, masa tinggal sedikit lagi, terpulang pada kita kalau hendak menang buat cara hendak menang. Kalau tak nak menang tidak perlu buat apa-apa. Pemimpin tolong dengar suara-suara akar umbi. Mereka tinggal di cawangan, kedai kopi dan mendengar keluh resah rakyat.
“Jadi pemimpin jangan sombong, jadikan macam padi, apabila tinggi makin lama menunduk . Dengan asimilasi kekuatan UMNO di akar umbi apabila pemimpin mendengar suara rakyat, Insya Allah, UMNO tidak akan dikalahkan lagi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut kata Ketua UMNO Bahagian Jasin, rakyat mahukan perubahan dan jangan takut akan perubahan ini dan jangan takut bawa suara rakyat walaupun tahu ada yang pahit.
“Pemimpin diangkat oleh orang bawah dan pemimpin wajib bawa suara rakyat bukan suara pemimpin. Saya percaya sekiranya ahli parti ikhlas demi perjuangan ABATA, Insya Allah… rakyat dibawah akan memahami perjuangan akar umbi UMNO.
“Saya percaya kita semua orang UMNO, sayangkan dan setia dengan parti. Insya Allah… UMNO akan kembali di setiap hati rakyat Malaysia, ” ujarnya. – UMNO Online