‘Future Tebrau’… Gagasan Bina Masa Depan Lebih Progresif, Masyarakat Berkualiti
TEBRAU, 22 Jun – Naratif ‘Future Tebrau’ telah digagaskan untuk membina masa depan Tebrau yang lebih progresif dengan masyarakat berkualiti, kata Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman.
Beliau yang juga Setiausaha UMNO Negeri Johor berkata, gagasan tersebut merupakan manifesto masa hadapan untuk membangunkan Tebrau dengan lebih inklusif merangkumi pendidikan dan kesejahteraan komuniti.
“Semangat Bangsa Johor yang sentiasa ada mentaliti juara dalam segala perkara inilah yang mengalir dalam darah orang Johor. Inilah yang membuatkan Johor sentiasa ke hadapan demi manfaat rakyat. Atas semangat ini juga, saya ingin menggagaskan satu naratif baharu iaitu ‘Future Tebrau’ demi membina masa depan Tebrau lebih progresif dengan masyarakat yang berkualiti.
“Ia bukan hanya satu gagasan fizikal. Future Tebrau ini adalah manifesto masa hadapan berdasarkan sebuah aspirasi untuk melihat kawasan ini membangun dengan lebih inklusif melibatkan pendidikan dan kesejahteraan komuniti.
“Tebrau berada pada kedudukan strategik iaitu dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS SEZ) dan di Tengah-tengah denyut nadi Pembangunan Negeri Johor. Tebrau diapit oleh potensi geopolitik dan demografi bersebelahan dengan Singapura, dikelilingi dengan kota metropolitan Johor Bahru dan Kawasan Perindustrian Pasir Gudang serta Iskandar Puteri. Tebrau memiliki kelebihan unik untuk menjadi hub baharu pembangunan ekonomi, inovasi dan komuniti masa depan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, ekosistem Future Tebrau yang dibina ini perlu dibawa oleh semua pihak dan dilaksanakan secara berpasukan untuk memudahkan urusan rakyat termasuklah memudahcara orang muda di Tebrau membina laluan selepas tamat pengajian.
“Hasrat saya dalam Future Tebrau ini diterjemahkan ke dalam setiap ahli UMNO di peringkat akar umbi melalui semua kepimpinan seperti ketua-ketua kampung, ahli-ahli majlis dan lain-lain. Sebab itulah pada mesyuarat ini saya minta disenaraikan orang yang bertanggungjawab dipamerkan. Saya juga menjemput peserta-peserta kelas Tuisyen Rakyat anjuran UMNO Bahagian Tebrau untuk turut serta.
“Inilah ekosistem Future Tebrau yang kami sedang bina. Setiap yang ada jawatan ini bekerja sebagai satu pasukan membawa nama UMNO Tebrau membantu memudahkan urusan rakyat, memudahcara orang muda membina laluan hidup selepas tamat zaman persekolahan dan membina suasana masyarakat kondusif, hormat menghormati serta bertoleransi.
“Inilah cara UMNO Bahagian Tebrau mendukung enam Teras Maju Johor yang digagaskan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa 30 kerusi Parlimen milik Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan seperti 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan ia perlu dijadikan syarat asas kepada rundingan kerjasama.
“30 kerusi Parlimen yang BN menangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 haruslah dikekalkan menjadi milik BN sama seperti 40 kerusi DUN Johor. Kerusi ini tidak boleh dijadikan taruhan sebaliknya dijadikan asas dalam rundingan.
“Ketegasan ini perlu kerana kita harus Kembali dominan dalam kerajaan baik di pusat mahupun negeri. Ini terbukti dalam masa tujuh tahun sejak 2018, walaupun sudah empat buah kerajaan silih berganti…empat Perdana Menteri bertukar tangan, namun tetap tidak dapat elak dari sentuhan kepimpinan UMNO/BN.
“Kita dapat belajar dari pengalaman lalu apabila menjadi sebahagian dari kerajaan tanpa dominasi ini boleh meletakkan masa depan bangsa dan agama di hujung tanduk,” katanya lagi. – UMNO Online