Rahim Perjuangan UMNO Adalah Islam, Melayu Dan Tanah Air
TANAH RATA, 21 Jun – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan UMNO lahir daripada rahim perjuangan yang berteraskan menjaga kesucian Islam, memperkukuhkan martabat bangsa Melayu dan menjaga kedaulatan tanah air.
Ujar Dr Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), UMNO tidak seperti beberapa parti yang wujud atas nama amarah kekecewaan kalah bertanding, hasad dengki dan pengkhianatan.
“Kita bukan lahir di jalanan… dari yang penuh dengan hasad dengki, rahim pengkhianatan, amarah dan kekecewaan. Kalah bertanding, rasa dikhianat dan tak puas hati tubuh parti baru.
“Tetapi UMNO ini atas titik peluh dan darah keringat orang Melayu yang mahu memperjuangkan agama Allah Subhanahu Wa Ta’ala, bangsa kita.
“Satu ketika bila kita memperjuangkan Melayu dikatanya asobiyah, sesat tetapi hari ini orang yang kata kita sesat, dia nak tunjuk lebih Melayu dari kita. Kita ini rahim perjuangan adalah Islam, bangsa Melayu kita dan tanah air kita,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands di sini hari ini.
Hadir sama Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Pahang yang juga Ketua Bahagian Cameron Highlands Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Hasmuni Hassan; dan Datuk Mohd Ariff Majid.
Turut hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Mohd Nor, Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said selaku wakil pemerhati Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Ketua UMNO Bahagian Batu Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim dan Datuk Usop Yong Timbalan Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands.
Dalam ucapannya, Dr Asyraf juga menyentuh berkaitan kesan kepada agama, bangsa dan negara ketika mana UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menjadi kerajaan 22 bulan selepas Mei 2018.
“Apa kesan apabila kita hilang kuasa kepada perjuangan kita, kepada agama dan bangsa kita. Tengok apa yang berlaku 22 bulan. Agama kita diperlekehkan.
“Mereka yang kononnya hari ini memperjuangkan soal agama dan bangsa, mereka itulah yang menjadi pengkhianat bangsa sanggup menjual perjuangan kita.
“Jangan lupa peristiwa ICERD, Statut Rom… siapa yang nak meratifikasinya? Jika tandatangan kita tidak boleh ada lagi frasa Islam agama Persekutuan dalam Perlembagaan. Tidak boleh ada lagi frasa Melayu, bangsa pribumi ada hak keistimewaan kerana semuanya kena ada sama rata. Itu kesan ICERD,” katanya.
Begitu juga Dr Asyraf berkata apa yang berlaku kepada MARA ketika hampir dua tahun itu.
“Kesan hilang kuasa agenda Melayu kita hampir diracik-racik. MARA contohnya 22 bulan… apa agenda pimpinan kerajaan pada waktu itu… MARA tidak boleh lagi fokus kepada pendidikan kerana mereka kata itu tanggungjawab Kementerian Pendidikan. Tidak perlu hantar (pelajar) ke luar negara kerana tiada pulangan pelaburan.
“Mereka juga mempersoalkan kenapa MRSM hendak di’ulul albab’kan kerana perlu fokus kepada sains dan teknologi,” katanya yang merujuk kepada tindakan pucuk pimpinan kerajaan ketika itu.
Oleh kerana itu kata Dr Asyraf, UMNO perlu terus bersatu padu dan kembali menjadi dominan untuk terus menjaga kepentingan Islam, bangsa dan negara.
Tambahnya, bukan satu perkara mustahil untuk parti bangkit kembali sebagaimana yang pernah dibuktikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang lalu dan beberapa siri yang terkini.
“UMNO Cameron Highlands mencatatkan sejarah besar UMNO kerana ketika kita kalah 22 bulan, yang mencetuskan semangat kebangkitan adalah kemenangan PRK Parlimen Cameron Highlands 26 Januari 2019.
“Kemenangan Datuk Ramli adalah kemenangan UMNO se-Malaysia dan ia bermula di Cameron Highlands. Bermula di situlah kita menang PRK yang berikut. Jangan lupa ini sejarah yang akan terpahat selama-lamanya,” katanya. – UMNO ONLINE