Pemimpin Harus Turun Padang Fahami Denyut Nadi Rakyat – Onn Hafiz
TEBRAU, 22 Jun – Para pemimpin UMNO di peringkat bahagian mahupun cawangan perlu turun padang agar dapat menjiwai dan mendengar denyut nadi rakyat, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata, beliau menyambut baik gagasan yang telah diumumkan oleh Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman kerana ia jelas seiring dengan misi dan visi kerajaan negeri menuju Maju Johor 2030.
“Apabila kita mendengar dan meneliti apa diucapkan Ketua UMNO Bahagian Tebrau… sebenarnya ia sama dan selari dengan aspirasi yang kita nak bawa di Johor. Semua sedia maklum bahawa visi ini jelas. Kita nak jadikan Johor sebuah negeri yang maju menjelang 2030 dari segi ekonomi, pembangunan, pendidikan demi masa depan anak, cucu dan cicit kita.
“Datuk Halim sebut tentang gagasan ‘Future Tebrau’. Ini adalah satu gagasan yang baik untuk lihat pembangunan TVET dan sebagainya. Insya-Allah kita boleh jadikan UMNO Bahagian Tebrau sebagai salah satu contoh di Johor. Sebab memang betul kawasan Tebrau ini adalah salah satu ‘flagship’ Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Sebab itu pemimpin harus turun padang. Di peringkat pemimpin negeri saya sarankan exco-exco bekerja menggunakan formula ‘3T 1N’. Pertama, turun padang. Nak jadi pemimpin yang menjiwai denyut jadi rakyat, kita kena turun padang. Kalau kita tidak turun padang, acapkali apa yang dilaporkan di atas kertas tak sama dengan realiti di bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Tebrau, di sini, petang semalam.
Onn Hafiz yang juga Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam berkata, pemimpin-pemimpin negeri perlu diberikan kepercayaan oleh pimpinan pusat untuk menguruskan projek rakyat secara profesional.
“Sudah tiba masanya pimpinan peringkat pusat memberi kepercayaan pemimpin-pemimpin negeri untuk uruskan projek rakyat. Kalau tidak mahu buat di seluruh Malaysia, jadikan Johor sebagai negeri rintis. Insya-Allah pemimpin-pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) Johor ini akan amanah, bertanggungjawab demi agama, bangsa dan tanah air.
“Formula kerja kedua ialah ‘teamwork’. Tidak mungkin kita boleh capai sesuatu yang memberangsangkan kalau bergerak solo dan mementingkan diri sendiri semata-mata. Sebab itu di peringkat pentadbiran negeri, kita pecahkan kepompong, tidak mementingkan darjat dan pangkat. Kita kena rapatkan saf.
“Sama juga dengan UMNO. Kita ada lebih kurang dua tahun lagi untuk hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). Sekarang fokus kita adalah untuk berkhidmat. Takkan nak tunggu pilihan raya baru nak buat kerja? UMNO adalah parti yang membela rakyat tak tunggu pilihan raya. Sebab itu gerak kerja berpasukan ini penting,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, formula kerja yang ketiga ialah para pemimpin perlu menggunakan pendekatan luar biasa untuk menghasilkan sesuatu di luar jangka.
“Kalau kita nak hasilkan sesuatu yang luar biasa, pendekatan kita juga perlu di luar jangka. Kita dah ada SEZ. SEZ ini adalah peluang kedua. Diperingkat kerajaan negeri, kita akan pastikan SEZ ini akan benar-benar berjaya kerana visi dan hala tuju yang saya sebutkan tadi.
“Johor ini ada masa depan yang sangat cerah. Kalau kita pandai guna kesempatan ini, saya punya keyakinan Johor akan jadi negeri paling maju di Malaysia. Saya yakin boleh. Tengok saja dari segi angka pelaburan. Kita dapat capai RM30.1 bilion pelaburan langsung asing (FDI). Tertinggi dalam negara.
“Tahun lepas ambil masa sembilan bulan untuk capai. Kali ini, hanya tiga bulan. Untuk hasil negeri, tahun lepas kita dapat RM2.1 bilion. Kalau kena caranya, kita boleh capai 2.5 bilion. Percayalah kita akan pulangkan semula kepada rakyat,” katanya lagi.
Di samping itu, beliau turut menyeru seluruh kepimpinan untuk beradu tenaga bersama-sama bagi membangunkan Negeri Johor dalam memastikan agenda Maju Johor 2030 dapat dicapai.
“Dalam dunia tanpa sempadan ini, apa yang saya dan rakan-rakan buat, banyak kita kongsi dalam sosial media. Dalam dunia yang penuh fitnah, ramai terikut-ikut dengan apa yang berlaku di sosial media tanpa memeriksa perkara sebenar. Sebab itu, kita mengalami tsunami pada 2018 sehingga UMNO/BN kalah di Johor.
“Ramai anak-anak muda, orang-orang Melayu, Cina dan India termakan dengan janji bulan dan bintang. Termakan dengan tohmahan. Perkara itu tidak boleh berlaku lagi dan pemimpin-pemimpin UMNOlah yang perlu menyebarkan kebenarannya. Kita lakukan pembangunan di Negeri Johor untuk masa depan semua.
“Jadi, sama-samalah kita berjuang, memberikan idea dan input untuk membangunkan Johor yang kita cintai. Setiap daripada kita ada tanggungjawab besar untuk sama-sama bangunkan negeri kita cintai. Rapatkan saf, bergerak sebagai satu kumpulan pastikan Parlimen Tebrau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetap akan menjadi kubu kuat UMNO/BN. Sama-sama gembleng tenaga jayakan agenda Maju Johor,” katanya lagi. – UMNO Online