Payung Melayu: Niat Tun M Tidak Ikhlas – Youzaimi
MERSING, 21 Jun – Usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kononnya untuk menyatukan orang Melayu melalui penubuhan Sektretariat Orang Melayu dilihat tidak ikhlas dan mampu memecahbelahkan lagi bangsa ini.
Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof berkata, usaha tersebut dibuat kerana Tun Mahathir sudah tidak mempunyai kuasa dan beliau terdesak untuk menggamit sokongan rakyat terhadap beliau.
“Kita di dalam UMNO sendiri pun dah kenal sangat dengan Tun Mahathir ini. Apabila beliau sedang susah dan berada dalam keadaan bukan sebagai parti pemerintah serta tenat… beliau cuba tubuhkan apa-apa agenda seperti ‘payung Melayu’ ini.
“Begitu juga semasa Pakatan Harapan (PH) 1.0 dahulu. Perkara ini telah dibuat dan saya anggap ia sama seperti menubuhkan PPBM sebelum ini. Pada saya, niat beliau tak ikhlas. Jadi, kita di peringkat UMNO ini harus berwaspada dengan niat Tun Mahathir sendiri,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, Tun Mahathir juga pernah tidak memberikan kuasa kepada orang Melayu pada zaman pemerintahan PH 1.0 dengan melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.
“Sedangkan, beliau sendiri yang tidak memberikan kuasa kepada orang Melayu. Beliau adalah Perdana Menteri pertama yang melantik Menteri Kewangan bukan di kalangan orang Melayu. Itu semua perlu diingati oleh kita. Kadang-kadang Tun Mahathir ini banyak watak, beliau boleh menangis dan sebagainya.
“Jadi, kita sebagai pemimpin di peringkat bawah ini jangan terpedaya dengan apa yang disarankan ataupun idea beliau. Sebab kita tidak mahu tengok payung yang nak memayungi kita ini nanti bocor dan ‘makan tuan’. Kita tidak mahu sekali lagi ditipu oleh mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keterujaan apabila menyaksikan Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Mersing yang berlangsung pada Jumaat berjalan dengan baik dan dirasmikan sendiri oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
“Hari ini telah berlangsungnya Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Mersing yang telah dirasmikan oleh Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. Alhamdulilah, nampaknya ramai perwakilan hadir. Semangat mereka sangat membara terutamanya apabila Datuk Seri Dr Noraini hadir dan ia menjadi suntikan untuk terus bergerak dalam membuat gerak kerja Wanita UMNO.
“Saya secara peribadi sebagai Ketua UMNO Bahagian Mersing mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Noraini kerana bukan mudah untuk mendapatkan seorang Ketua Wanita, turun sendiri ke bahagian ini. Semua sedia maklum dalam Parlimen Mersing ini kita kalah di kerusi parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau… begitu juga di DUN Tenggaroh. Walaupun menang, kita tidak boleh ambil mudah dan selesa dalam keadaan ini.
“Saya harap kehadiran beliau menjadi pemangkin untuk gerak kerja Wanita pada masa akan datang. Saya yakin, mesyuarat ini akan menyuntik semangat positif terutamanya dalam Wanita UMNO. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman