MMU Setuju Dengan Fatwa, Hormati Mahkamah Dan Teliti Bersama Pakar Perundangan

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Majlis Ulama UMNO (MUU) akur dan bersetuju dengan Fatwa Kerajaan Negeri Selangor berhubung fahaman liberalisme serta pluralisme agama.

Dalam satu kenyataan media, MUU berpandangan fatwa yang digazetkan pada 31.7.2014 yang menfatwakan “mana-mana individu, pertubuhan dan institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam” dan “mana-mana individu yang berfahaman demikian hendaklah bertaubat dan kembali kepada Islam”

“MUU juga menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini melibatkan pertikaian tentang pemakaian fatwa tersebut terhadap SIS Forum Malaysia sebagai sebuah pertubuhan atau syarikat pada sisi pandang Perlembagaan Malaysia.

“Adapun individu-individu dalam pertubuhan terbabit tetap terikat dari sudut undang-undang Islam dengan fatwa yang telah digazetkan dan boleh diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa agama berlandaskan undang-undang negeri,” katanya.

Menerusi kenyataan media itu juga, MUU memaklumkan pihaknya akan mendapatkan pandangan pakar undang-undang berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan ini sebelum memberi pandangan balas ke arah pemerkasaan fatwa-fatwa negeri serta penguatkuasaannya terhadap individu muslim menurut kuasa yang diberikan kepada negeri-negeri melibatkan Islam.

Katanya lagi MUU berpandangan bahawa keputusan mahkamah ini tidak sama sekali mencabar kedaulatan dan kuasa fatwa di negeri-negeri sebagaimana telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia yang selaras juga dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

“Ia juga bukannya premis untuk mana-mana pihak meluaskan penyebaran fahaman sesat yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk meremeh dan melemahkan kedudukan fatwa atau memperluas fahaman liberalisme dan pluralisme agama dalam kalangan umat Islam mestilah ditolak dengan tegas.

“MUU turut menyeru semua pihak, khususnya umat Islam, agar berhati-hati terhadap fahaman yang mengelirukan akidah serta terus mendukung peranan institusi fatwa dan mufti dalam menjaga kesucian agama Islam di negara ini kerana fatwa bukan hanya pandangan hukum, tetapi panduan akidah, syariah dan akhlak umat Islam menurut lunas undang-undang,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79