Buku Panduan Naratif Penerangan UMNO Mampu Tolak Persepsi Pihak Lawan – Suraya
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia yang diterbitkan oleh Penerangan UMNO adalah untuk memberikan pandangan dan idea ke akar umbi agar pelbagai isu yang timbul dipersekitaran mudah difahami.
Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaakob berkata sekiranya naratif daripada kepimpinan parti semuanya sama dan selari maka ianya dapat menenggelamkan hal-hal yang negatif berkaitan parti.
“Kita ingin semua peringkat kepimpinan bercakap dan menjalankan perkara yang selari dan sama. Paling penting bagaimana hendak hadam serta faham mengenai Buku Panduan Naratif ini dan dapat mengulas dengan lebih baik mengenai apa-apa isu iaitu menerangkan secara detail kepada ahli.
“Kita kena faham proses selepas berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-18… semua ‘stage’ dan pelbagai persoalan yang berlegar… misalnya kenapa UMNO diserang sebegini… kenapa UMNO cuba dipatahkan kakinya satu persatu.
“Kita mahu melihat buku ini memberi kesan pada ahli parti terutamanya pada perwakilan bahagian yang sedang bersidang sekarang dan seterusnya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan datang. Setidak-tidaknya dibahagian akan berbicara mengenai naratif yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis kupasan Buku Panduan Naratif UMNO’ bersama ketua-ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan di Menara Dato’ Onn, semalam.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zin serta ketua-ketua Penerangan UMNO bahagian- bahagian di Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang menjelaskan sokongan dan kejayaan dari ketua–ketua UMNO bahagian amat diperlukan khususnya dalam memahami apa yang sebenarnya rakyat mahu dengar.
“Ianya tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya Ketua-ketua UMNO Bahagian itu sendiri tidak memberikan sokongan dan kita harap program-program kecil dapat dilaksanakan di bahagian dan cawangan dahulu agar dapat memahami isu apa yang rakyat hendak dengar. Kita berusaha sedikit demi sedikit… kupas idea dan pandangan supaya dapat perbaiki lagi naratif yang akan datang,” katanya lagi.
Terdahulu, Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia telah dilancarkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said pada 9 Jun lalu dan ianya membawa manifestasi tersendiri kepada pengukuhan gerak kerja parti mendepani pilihan raya akan datang.
Buku ini disediakan khusus sebagai panduan komunikasi bagi semua pemimpin dan jentera UMNO dalam menghadapi Mesyuarat Bahagian Tahun 2025. – UMNO Online