Pemuda UMNO Dan BN Bersolidariti Bersama MCA Pertahan Kebebasan Bersuara

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan padu terhadap Pemuda MCA dalam mempertahankan hak kebebasan bersuara, susulan siasatan pihak polis terhadap Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia merangkap Pemuda BN, Hafiz Ariffin, menegaskan bahawa tindakan pihak berkuasa memanggil Wong untuk memberi keterangan berhubung video beliau menyuarakan kebimbangan tentang isu pengumpulan data pengguna telefon bimbit adalah tidak wajar.

“Kami berdiri teguh dan bersolidariti bersama Saudari Wong Siew Mun yang hanya melaksanakan hak beliau sebagai warganegara untuk menyuarakan kebimbangan berkaitan kepentingan awam,” kata Hafiz.

Menurut peguam yang mewakili Wong, Tuan Haji Kamarudin Ahmad, kenyataan yang dibuat oleh Wong tidak melanggar mana-mana undang-undang dan adalah sebahagian daripada hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Hafiz turut memetik Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak setiap warganegara untuk bebas bersuara dan bercakap.

“Hak ini adalah asas sistem demokrasi dan tidak sepatutnya disekat hanya kerana ia bertentangan dengan pandangan pihak tertentu.”

Katanya, Pemuda UMNO dan BN melihat isu ini sebagai lebih daripada sekadar membela Wong Siew Mun; ia melibatkan prinsip hak rakyat untuk bersuara dalam isu yang memberi kesan kepada orang ramai malah tindakan yang dilihat sebagai cubaan menyekat suara rakyat menurut mereka, hanya akan mencemarkan imej kerajaan.

“Kami menggesa pihak berkuasa supaya kekal menghormati Perlembagaan dan tidak menggunakan intimidasi untuk menutup suara rakyat,” tegas Hafiz.

Beliau juga menekankan bahawa perbezaan pandangan adalah sebahagian daripada kematangan demokrasi dan harus diraikan, bukan dibisukan.

Wong Siew Mun telah dipanggil ke Bukit Aman semalam untuk memberi keterangan berhubung video yang dimuat naik beliau sebelum ini, yang menyentuh isu keselamatan dan kerahsiaan data pengguna telefon bimbit di Malaysia. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79