UMNO Putatan Terus Prihatin, Santuni Mangsa Kebakaran

PUTATAN, 18 Jun – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed meluangkan masa turun padang menziarahi mangsa-mangsa kebakaran dari Kampung Petagas dan Kampung Bukit Vor yang kini ditempatkan sementara di Dewan Sri Putatan.

Dalam lawatan penuh rasa empati itu, Jeffery menyatakan rasa sedih dan terharu apabila berpeluang mendengar sendiri keluhan dan kesedihan para mangsa yang kehilangan tempat tinggal dalam insiden kebakaran baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya berkesempatan menziarahi mangsa-mangsa kebakaran. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya benar-benar tersentuh mendengar cerita daripada mereka yang ditimpa musibah ini,” katanya.

Beliau turut menyampaikan sedikit sumbangan peribadi sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada mangsa-mangsa terlibat.

“Saya berharap sumbangan kecil ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa. Insya-Allah, saya akan berusaha membantu sedaya mungkin dalam kapasiti saya untuk memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan, terutamanya dari aspek kebajikan dan keperluan asas,” jelasnya lagi.

Jeffery juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dan masyarakat setempat yang tampil menunjukkan solidariti dan membantu kepada mereka yang sedang menghadapi ujian ini.

Katanya, dalam situasi seperti ini, semangat kebersamaan dan keprihatinan amat penting untuk memulihkan semangat mangsa.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan-rakan dan penduduk kampung di Kg. Petagas yang telah bertungkus-lumus membantu mangsa sejak awal kejadian. Keprihatinan kalian sangat dihargai.

“Kita doakan agar urusan mereka semua dipermudahkan, dan semoga Allah menggantikan apa yang hilang dengan sesuatu yang lebih baik, insya-Allah.”

Jelas beliau lagi, lawatan ini juga mencerminkan keprihatinan UMNO terhadap kebajikan rakyat di peringkat akar umbi, sekali gus membuktikan bahawa semangat kebersamaan sentiasa diaplikasi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79