UMNO Pensiangan Yakin Pulihkan Dominasi Parti, Perkukuh Sokongan Di Akar Umbi

PENSIANGAN, 18 Jun – Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Busiau Ampirak menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan menjadi medan penting untuk membuktikan kekuatan dan kesungguhan UMNO di kawasan pedalaman Sabah, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan.

Menurut beliau, UMNO Pensiangan telah mengenal pasti DUN Nabawan sebagai kerusi tumpuan yang mampu dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) berdasarkan sejarah lalu serta sentimen akar umbi yang semakin positif terhadap parti.

“DUN Nabawan ini bukanlah kawasan asing bagi UMNO/BN. Ia pernah menjadi antara penyumbang tetap kerusi BN di Sabah suatu ketika dahulu. Kini, dengan strategi baharu, barisan kepimpinan yang lebih dinamik, serta gerak kerja yang tersusun rapi, kami yakin rakyat akan memberikan kepercayaan semula kepada UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Busiau berkata, UMNO Pensiangan kini giat memperkukuh kekuatan jentera di semua peringkat iaitu dari cawangan hingga ke pusat daerah mengundi (PDM), dengan fokus terhadap pendekatan mesra rakyat, sentuhan langsung ke akar umbi dan penyelesaian isu-isu tempatan secara berkesan.

Beliau turut menjelaskan bahawa semangat dalam kalangan ahli UMNO semakin membara sejak kebelakangan ini, terutama selepas beberapa siri pertemuan bersama masyarakat yang menunjukkan sokongan terbuka terhadap misi UMNO untuk membawa kembali pembangunan, kestabilan dan suara rakyat ke DUN Nabawan.

“Kita hadir dengan tekad untuk membela nasib rakyat, memperjuangkan hak masyarakat. Dengan kerja keras dan doa semua pihak, kita yakin DUN Nabawan akan kembali menjadi milik BN.”

Ujarnya lagi, UMNO Pensiangan juga akan terus mempergiatkan program-program kemasyarakatan, khidmat bakti serta sesi libat urus bersama pelbagai lapisan komuniti, sebagai usaha mendekatkan parti dengan rakyat dan memahami keperluan sebenar penduduk setempat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79