Tiup Semboyan PRN: Puteri UMNO Tawau Siap Sedia Gempur Pastikan Kemenangan
TAWAU, 18 Jun – Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) kian terasa dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Tawau, Noratika Awang tampil meniup semboyan kesiapsiagaan jentera akar umbi parti, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung yang menjadi sasaran untuk dirampas kembali oleh UMNO/Barisan Nasional (BN).
Dalam ucapan bersemangat kepada para perwakilan dalam Persidangan UMNO Puteri Tawau baru-baru ini, Noratika menegaskan bahawa PRN kali ini bukan sekadar pesta demokrasi biasa, tetapi medan sebenar untuk membuktikan kekuatan akar umbi dan keteguhan kepimpinan UMNO.
“Jangan kita leka, jangan kita alpa. Medan belum dimenangi, kerja belum selesai! Inilah masanya untuk membuktikan UMNO masih relevan, kuat dan diyakini rakyat,” tegas beliau.
Menurut Noratika, kemenangan tidak datang tanpa persiapan rapi dan pengorbanan besar.
Beliau menyeru agar seluruh saf Puteri UMNO dan jentera di Bahagian Tawau merapatkan barisan, menyusun gerak kerja dan turun padang demi memastikan kemenangan yang gemilang.
“PRN bukan soal calon semata-mata, tetapi soal kekuatan keseluruhan jentera dan akar umbi kita. Tiada kemenangan tanpa persediaan, dan tiada kejayaan tanpa pengorbanan,” ujarnya.
Beliau juga mengingatkan ahli UMNO agar tidak mudah goyah dengan serangan, fitnah serta permainan persepsi lawan, sebaliknya terus berpegang kepada prinsip dan nilai perjuangan yang murni.
“Fitnah itu api, tetapi kita mesti jadi air iaitu sejuk, sabar dan menyelamatkan keadaan. Jangan kita membalas kebencian dengan kebencian, tetapi dengan khidmat, nilai dan integriti.”
Noratika turut menyentuh sejarah jatuh bangun UMNO, dengan menyatakan bahawa walaupun parti pernah tewas dalam PRU ke-14,tetapi berjaya bangkit semula dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK)selepas itu.
“Ada yang kata UMNO sudah usang, parti boneka tapi itu suara orang yang tidak setia. Kita bukan parti picisan. Kita adalah legasi bangsa yang harus dipertahankan.
“Bangunlah wahai saudariku, jangan kita leka! Jalan kita masih panjang, cabarannya tak pernah reda. Setia kita bukan hanya di puncak kuasa, tetapi juga ketika badai kekalahan melanda. Setia berjuang hingga ke hujung nyawa,” katanya lagi. – UMNO Online