Puteri UMNO Port Dickson Terus Tekad Perjuangkan Usul Had Umur 40 Tahun
PORT DICKSON, 18 Jun – Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Port Dickson sekali lagi membawa usul kenaikan had umur keahlian Puteri UMNO kepada 40 tahun, sejajar dengan usaha di peringkat nasional oleh Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.
Ketuanya, Nur Hidayah Abu Bakar berkata, usul tersebut telah mula diketengahkan tahun lalu dan mendapat sokongan padu daripada UMNO Bahagian Port Dickson.
“Alhamdulillah, pada 5 Februari 2025, dalam Mesyuarat AJK Bahagian yang pertama bagi tahun ini, UMNO Bahagian secara rasmi memberikan persetujuan dan sokongan terhadap usul menaikkan had umur Puteri kepada 40 tahun,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Port Dickson, pada Ahad.
Beliau menegaskan, perjuangan untuk memanjangkan had umur ini tidak akan terhenti sehingga ia dimaktubkan secara rasmi dalam peraturan Pergerakan Puteri UMNO.
Dalam pada itu, Nur Hidayah turut menekankan komitmen Puteri UMNO Port Dickson dalam menganjurkan pelbagai program meskipun berdepan kekangan tertentu.
“Kalau ikut sasaran kami, setiap bulan Puteri mesti ada program sendiri, sekurang-kurangnya sebulan sekali. Namun faktor tertentu kadang-kadang menyukarkan pelaksanaan. Tetapi kami tetap cuba fikir dan laksanakan program yang ‘best’ untuk tarik minat anak muda,” jelasnya.
Beliau juga menyeru semua ahli Puteri cawangan agar turut serta secara aktif dalam program yang dianjurkan, serta mengajak lebih ramai golongan muda, termasuk lepasan SPM, menyertai Puteri UMNO.
“Saya jemput semua adik-adik untuk turut serta dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Hebahan program dibuat melalui Ketua Puteri Cawangan dan Facebook. Jangan malu atau segan, kita buat sama-sama,” katanya.
Puteri UMNO Port Dickson turut memberi ruang kepada cawangan untuk menganjurkan program tersendiri dengan sokongan dari bahagian.
“Kepada Puteri cawangan yang ingin jalankan program, maklumkan sahaja. Kami di bahagian sedia membantu,” tambahnya. – UMNO Online