APC KPWKM: Noraini Ucap Tahniah Kepada Penerima, Terus Beri Khidmat Terbaik

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta berharap agar mereka terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dalam mensejahterakan rakyat.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa majlis tersebut diadakan untuk meraikan 646 orang kakitangan Jabatan dan Agensi di bawah KPWKM.

“Pada Selasa saya telah menghadiri Majlis APC KPWKM Tahun 2024 yang telah disempurnakan oleh Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Bangi Avenue Convention Centre untuk meraikan 646 orang kakitangan Jabatan dan Agensi di bawah KPWKM.

“Majlis ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan terhadap komitmen serta dedikasi luar biasa warga KPWKM yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2024 di samping memberi impak kepada organisasi juga masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, sembilan orang daripada seluruh penerima anugerah tersebut merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada 646 penerima APC KPWKM terdiri daripada 24 orang warga Kementerian, 525 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat, 72 kakitangan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, 19 kakitangan Jabatan Pembangunan Wanita dan enam orang kakitangan Institut Sosial Malaysia. Daripada jumlah ini, sembilan orang penerima anugerah merupakan OKU.

“Semoga kejayaan hari ini menjadi pembakar semangat dan inspirasi buat semua warga kerja KPWKM yang lain untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan berkualiti dan mensejahterakan rakyat serta memakmurkan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79